Siasatan kes adik Zayn Rayyan temui jalan buntu, polis minta bantuan INTERPOL

Oleh WAN SITI AMINAH

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon bantuan daripada pihak Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi membantu siasatan kes kematian Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pihak INTERPOL memiliki pangkalan data besar yang boleh menyemak hasil siasatan daripada polis tempatan.

Polis juga mengakui sukar untuk melakukan siasatan memandangkan tempat kanak-kanak autisme itu ditemui bukanlah lokasi sebenar pembunuhan, lapor Berita Harian.

“Kita ada minta bantuan daripada pihak INTERPOL berkaitan ‘data base‘ (pangkalan data) mereka. Kami ada beberapa maklumat walaupun bukan conclusive (muktamad).

“Maklumat (yang boleh membantu siasatan) ini yang mereka boleh tolong semak di dalam ‘data base‘ mereka (INTERPOL),” kata Hussein memetik laporan Berita Harian.

Jelas Hussein, pihaknya kini sedang fokus untuk mengesan ‘prime crime scene’ atau tempat kejadian jenayah pertama iaitu di mana lokasi sebenar Zayn Rayyan dibunuh.

Tegasnya, polis sudah berusaha untuk menjalankan siasatan cuma pada ketika ini pihaknya masih mencari petunjuk yang lebih positif bagi menyelesaikan kes tersebut.

“Seperti yang kita maklumkan, tempat mayatnya ditemui itu adalah ‘second crime scene’ (tempat jenayah kedua) dan kita kurang dapat keterangan fizikal yang boleh dikaitkan dengan penjenayah.

“Jadi dalam kes ini, pihak polis berhadapan cabaran untuk mengesan keterangan-keterangan sehingga tertangkapnya suspek atau mereka yang terbabit.

“Seperti saya sebut sebelum ini, kes ini bukan kes yang ‘straight forward‘ (jelas dan mudah), kita masih meneruskan siasatan dan polis masih berada di lokasi setiap hari.” Jelasnya.

Mengulas lanjut, pihak polis telah merakam keterangan seramai 225 individu, selain mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) menerusi pemeriksaan rumah ke rumah.

Sampel yang sudah dianalisa kira-kira sebanyak 240 bagaimanapun belum memberi keputusan positif dalam membantu siasatan kes kematian kanak-kanak autisme itu.

Malah, seramai 12 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk narkotik sejak siasatan bermula lebih dua minggu lalu pula tiada kaitan dengan kes tersebut.

Polis bagaimanapun belum berputus asa meneruskan siasatan dan masih berada di Apartment Idaman setiap hari untuk melakukan aktiviti termasuk semakan dashcam.

“Semakan pada semua rakaman dashcam kenderaan dan CCTV (kamera litar tertutup) yang diperoleh, apa yang boleh dikatakan ialah kita mendapat maklumat sangat minima untuk bantu siasatan.

“Polis kini sudah masuk fasa ketiga siasatan dengan fasa pertama dan kedua sudah selesai iaitu pemeriksaan dari rumah ke rumah membabitkan 18 blok di apartmen itu.

“Pada fasa ini, kita lebih fokuskan di blok tertentu di mana kita buat pemeriksaan dengan lebih mendalam dan teliti termasuk siasatan forensik di setiap rumah di blok berkenaan.” Ulasnya.

Terdahulu, jasad Zayn Rayyan ditemui di saliran air berdekatan takungan air kira-kira 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya.

Kanak-kanak autisme yang berusia enam tahun itu dijumpai kira-kira pukul 10 malam pada 6 Disember lalu iaitu selepas lebih 30 jam dilaporkan hilang oleh ibunya.

Kematian Zayn Rayyan kemudian diklasifikasi daripada mati mengejut kepada kes bunuh selepas bedah siasat menemui kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Baca juga: “Dia baik, lembut dan kelakar”, artis terkenal rupanya kaki pukul anak bini di rumah