Satu rakaman yang memaparkan sedutan ceramah dari pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus telah berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.
Berdasarkan rakaman yang berdurasi 26 saat itu, Ustaz Azhar memberi penjelasan kepada pendengar mengenai hukum basuh tangan menggunakan ‘air sirap kenduri’.
Amalan ini dikatakan sering dilakukan orang ramai ketika menghadiri kenduri kahwin kerana malas berjalan ke tempat membasuh tangan yang disediakan tuan rumah.
Menurut penceramah terkenal dari Terengganu itu, amalan tersebut adalah ‘haram’ dilakukan berikutan tuan rumah menyediakan air sirap tersebut sebagai minuman.
Tular di media sosial, rakaman itu dikongsi oleh pengguna TikTok dikenali sebagai @abdmanbindin menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform berkenaan.
“Kalau pergi rumah orang kenduri, jangan basuh tangan dengan air sirap. HARAM. Ramai orang basuh (guna air sirap), dia malas nak pergi dekat paip air sebab jauh.
“Jadi dia ambil air sirap itu sahaja siram tangan. Kerana air di situ (sirap kenduri) disediakan oleh tuan rumah hanya untuk diminum, jadi di situlah HARAMnya.
“Ha kena jaga. Jangan buat lebih kurang,” kata Ustaz Azhar memberi amaran kepada pendengar ceramah agar tidak mengambil ringan dan lebih berhati-hati selepas ini.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata penonton terkejut dengan maklumat tersebut berikutan ramai yang pernah membuat perkara itu ketika ke kenduri kahwin.
Berterima kasih atas perkongsian ustaz Azhar Idrus, ada juga individu yang berniat menghalalkan ‘sirap kenduri’ bagi membasuh tangan jika menganjurkan kenduri kelak.
“Allahuakbar, aku pun pernah buat macam ini. Terima kasih atas perkongsian,” kata seorang pengguna yang menginsafi perbuatannya.
“Saya buat kenduri sudah berniat nak halalkan sahaja air sirap itu untuk tetamu bagi kegunaan apa sahaja.” Kongsi pengguna lain.