Bau busuk pelik, pengunjung ‘car boot sales’ terkejut lihat mayat dalam kereta

Oleh MAISARAH AISYA

Tular di media sosial mengenai pelanggan dan orang ramai yang hadir ke car boot sale di Kota Damansara terhidu bau busuk dari dalam sebuah kereta.

Pada mulanya mereka hanya menganggap itu perkara biasa hinggalah ternampak mayat individu yang sudah kembung.

Menurut Kosmo, polis mengesahkan mayat seorang lelaki di dalam kereta jenis Perodua Bezza telah meninggal dunia lebih lima hari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat tersebut sekitar pukul 12.04 tengah hari, semalam.

Siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang lelaki tempatan berusia 40-an dan dijumpai dalam keadaan terbaring di ruangan pemandu kereta terbabit.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

“Hasil siasatan mendapati mangsa meninggal dunia dalam tempoh melebihi lima hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sebelum ini ramai yang lalu lalang hanya ingat lelaki tersebut tidur kerana menjadi kebiasaan untuk mereka yang berniaga meletakkan kenderaan awal sebelum menjual.

Namun bau busuk yang dihidu dari luar menyebabkan ramai mendekati kenderaan tersebut sebelum sedar mayat sudah mengembung.

Baca juga: 3 pegawai polis ditahan, sempat rembat RM85,000 ketika buat serbuan ‘Mini Dhaka’