Watie mengaku tak tahu cara siang ikan sebelum kahwin, nasib baik ibu mentua tak marah, siap puji sebab jujur

Oleh KIM SYAZIE

Pejam celik, pejam celik, sudah enam bulan usia perkahwinan pelawak Shuib dan isterinya, Watie Hanifiah. 

Watie juga dilihat semakin ‘akrab’ dengan pengikutnya apabila gemar berkongsi cerita tentang kehidupan selepas berkahwin 

Watie pada perkongsian di Instagram Story baru-baru ini, tidak kisah berkongsi bahawa dia sebelum berkahwin, tidak reti menyiang ikan.

Menurut Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah, dia sendiri berterus terang kepada ibu mentuanya bahawa dia tidak tahu jenis-jenis ikan serta cara menyiang.

“Masa mula-mula jumpa ibu mentua, dia tengah siang ikan sepat, ikan itu boleh melompat. Saya siap tercarut lagi.

“Sudahnya saya terus terang je, segala jenis ikan saya tidak kenal sangat. Jadi siang ikan itu memang tak pernah lah. Sebab selalu makan ayam dengan daging sahaja.

Namun kata Watie, ibu mentuanya itu tidak pernah memarahinya malah memuji sikapnya yang bercakap jujur.

“Terus ibu mentua cakap, ‘tidak apa tunjuk bodoh, jangan tak pandai tapi buat-buat pandai’.

“Alhamdulillah selamat dah terima saya sebagai menantu,” ujarnya.

Bagaimanapun, Watie bersyukur selepas enam bulan berkahwin, dia kini semakin mahir tentang hal-hal berkaitan rumah tangga termasuk kerja-kerja menyiang ikan.

“Tapi selepas kahwin, eh semua benda yang tak boleh jadi boleh. Semua benda yang tak pandai jadi pandai,” kongsinya lagi.

Untuk info, Watie dan Shuib mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023 di Putra Glass Heights.

Terdahulu, Shuib pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata.

Baca juga: Tak sangka daun pandan boleh hilangkan jerawat, ini langkah yang perlu anda ikuti