“Tergamak suami khianati aku, berkecai hati tengok dia berselimut dengan adik angkat di ruang tamu!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak menyangka lelaki dipilihnya sebagai suami boleh berubah sekelip mata selepas kehadiran keluarga angkat di dalam ‘rumah tangga’ mereka.

Lebih memburukkan keadaan, suami kepada wanita yang dikenali sebagai Ana itu sanggup mengkhianati ikatan janji suci mereka hanya kerana ingin memiliki zuriat.

Digantung tidak bertali, Ana kini hidup bagai patung tak bernyawa selepas melalui episod hitam dalam hidupnya angkara perbuatan zalim keluarga angkatnya sendiri.

Berikut adalah perkongsian mengenai detik-detik kemusnahan hidup Ana yang diceritakan semula oleh sepupunya, Piya.

“Kisah ini bukan mengenai aku. Tetapi ia bermula dengan ‘trip’ ketika aku temankan sepupu iaitu Kak Ana untuk memberi bantuan kepada orang yang memerlukan. Kisah ini berlaku pada lima atau enam tahun yang lalu. Jadi, sewaktu kejadian umur Kak Ana baru dalam 40-an. 

“Kak Ana ini asalnya adalah seorang pensyarah di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur. Suami dia beria sangat nak pindah Pahang. Jadi Kak Ana terpaksa berhenti dan ikut suami dia. Suami Kak Ana tiada kerja tetap, bekerja sendiri mengambil upah pendawaian elektrik (wiring) dekat rumah atau pejabat bila dipanggil.

“Kak Ana pula tak dapat terus bekerja sebagai pensyarah selepas pindah ke Pahang kerana mereka tinggal di pendalaman. Universiti atau kolej terletak dalam jarak agak jauh daripada rumah mereka. Kak Ana tidak kisah untuk berulang-alik. Tetapi suami dia tak benarkan. Risau katanya. 

“Kak Ana dan suami tiada anak walaupun sudah berbelas tahun kahwin. Jadi bila Kak Ana duduk rumah seorang diri, dia cepat bosan. Jadi Kak Ana memilih menyertai satu persatuan yang mengutip sumbangan untuk membantu keluarga-keluarga susah. Setiap ahli persatuan akan diberi ‘keluarga angkat’ untuk dijaga.

“Maksudnya selepas bantuan diagihkan, mereka perlu sentiasa pantau dan tambah bantuan jika perlu. Bergantung pada dana persatuan. Nak dijadikan cerita, Kak Ana ajak aku untuk teman pergi hantar bantuan pada keluarga angkat dia. Baru pertama kali pergi, itu yang Kak Ana gementar sedikit.

“Keluarga ini tinggal di satu unit rumah flat kos rendah. Sewa rumahnya ditanggung oleh lembaga zakat. Kiranya, zakat akan bayar sewa terus kepada pemilik rumah. Aku tak berniat nak menghina. Tetapi pertama kali aku jejak kaki dekat rumah itu memang KOTOR, BERBAU, dan BERSEPAH. 

“Ikutkan hati nak tutup hidung tetapi macam biadab pula. Jadi nak tak nak, kenalah tahan. Aku tengok Kak Ana selamba sahaja tersenyum, masuk rumah kemudian bagi salam. Keluarga ini ada tiga orang. Ibu (mak cik) bersama seorang anak lelaki belasan tahun dan satu anak perempuan lebih kurang baya aku dalam 30-an.

“Mak cik memang mulut manis. Dia kata, ‘maaf, rumah bersepah, tak berapa sihat. Sara (anak perempuan) sakit perut datang bulan. Itu yang tak boleh mengemas’. Aku macam pelik. Tadi elok aku tengok si Sara menghadap telefon. Siap terguling-guling, tergelak-gelak atas toto dekat ruang tamu. 

“Apabila nampak kami sahaja, terus dia lari masuk bilik. Tak pandang, tak salam pun. Aku tengok ada berlonggok-longgok baju dekat sana sini. Tak tahu bersih ke tak, dah dibasuh ke belum. Dengan lantai penuh dengan rambut, habuk. Ada tempat yang aku pijak macam berlendir. 

“Sampai masa, kami pun hulurkan kotak bantuan. Dalam ada beras, mihun, tepung, telur, ikan bilis, biskut, milo dan lain-lain. Kira macam bahan asaslah untuk memasak. Aku jangkakan mak cik itu akan terharu cakap terima kasih. Tetapi mulut manis dia tadi terus mati, mencebik pula. 

“Dengan muka kecewanya cakap, ‘ingatkan nak bagi duit. Rupanya bagi benda ini. Terima kasihlah ya’. Aku dah menyirap. Kak Ana punyalah bersusah payah pergi beli makanan. Semua berjenama. Siap Kak Ana tambah duit sendiri. Mak cik itu kata bagi duit lebih senang sebab tiada peralatan memasak.

“Ceh, nak duit rupanya mak cik ini, kata aku di dalam hati. Patutlah banyak sampah macam plastik tapau atau polisterin. Dengan plastik air ikat tepi yang masih bersisa, digantung dekat tingkap tingkap. Zaman bila punya entah. Barang seperti periuk nasi dan kuali semua itu ada sahaja di dapur.

“Apabila aku tanya, dia cakap lama tak gunalah, rosaklah, tong gas tiadalah. Banyak sangat alasan! Akhirnya tiba masa kami nak bawa balik kotak, mak cik itu terus pegang. Dengan rakusnya, dia belek-belek makanan yang kitorang bawa. Dia ambil wehh. Ada juga kena tangan dengan aku kang. Maaf, aku ini baran sikit.

“Mak cik itu punya tamak dan dengki, boleh kalah dengan Kassim Baba (yang faham, fahamlah ya). Jadi hari itu aku balik dengan hati yang marah dan sebal. Tetapi Kak Ana bertenang sahaja aku tengok. Bagusnya kau kak. Kak Ana memang orangnya lembut, baik, sopan, senyum sahaja. 

“Macam tak terkesan dengan perangai mak cik itu yang entah apa apa. Selepas itu, aku dapat tawaran bekerja dekat Terengganu. Sibuk sangat sampai Kak Ana pun aku tak sempat nak jumpa. Hanya telefon bertanya khabar. Nak dijadikan cerita, awal tahun 2019 aku jumpa Kak Ana dekat kenduri kahwin saudara kami. 

“Ini adalah kali pertama aku berjumpa dengan Kak Ana selepas ‘trip’ mak cik puaka itu. Aku sangat terkejut. Kak Ana nampak cengkung dan tiada lagi senyuman macam selalu. Jeling-jeling sekeliling, suami dia tiada. Aku seret adik dia, Ira masuk bilik. Aku ugut dia beritahu apa yang sudah jadi. 

“Persoalannya kenapa Kak Ana jadi macam itu. Mana suami dia? Mula-mula Ira takut nak cakap sebab dah janji dengan Kak Ana. Tetapi aku tak peduli, aku nak tahu juga. Rupanya suami Kak Ana dah kahwin lain, gantung Kak Ana tak bertali. Ingin tahu dia kahwin dengan siapa? Betul. Dengan anak mak cik puaka. 

“Selepas kejadian ‘trip’ berberapa tahun lalu tersebut, Kak Ana selalu lawat keluarga puaka itu. Kalau ikutkan SOP persatuan, tiada paksaan bagi ahli untuk lawat rumah keluarga angkat. Tetapi Kak Ana kesian, siap bagi rice cooker iaitu hadiah kahwin dia dulu. Dua minggu sahaja masak. Selepas itu malas. 

“Hari-hari nak tapau makanan. Siap demand, nak duit setiap bulan minima RM1000. Sebab anak lelaki dia ade sakit ekzema. Bila Kak Ana suruh ambil ubat dekat klinik kerajaan, dia kata leceh. Nanti penat menunggu. Alasan kedua, nak bayar upah bibik Indonesia untuk mengemas rumah setiap minggu.

“Katanya setiap kali datang, kena caj RM70. Bila Kak Ana suruh kemas sendiri, mak cik kata dia tak sihat. Bila minta anak perempuan tolong pula takut kena habuk nanti resdung lah, migrain lah. Mereka ini asyik mesej dan tekan Kak Ana sampai Kak Ana kerap sakit kepala, migrain. Ini tahap awal depression Kak Ana. 

“Selepas Kak Ana dah kerap sakit kepala, Kak Ana akan minta suami teman. Hantar dia ke rumah keluarga puaka. Mula-mula temankan Kak Ana. Lama-lama suami dia lawat sendiri. Konon tak bagi keluar rumah dengan alasan risaukan kesihatan isteri. Kak Ana pula rasa lega sebab ada orang bantu tengokkan keluarga angkat.

“Tetapi lama-lama, jadi pelik. Suami dia kerap keluar kerja tapi tak balik rumah. Kak Ana langsung tak syak wasangka. Dia percaya apa suami cakap. Sampai satu masa, Kak Ana tergerak hati nak lawat keluarga puaka itu. Siap bawa macam-macam lagi. Sampai sahaja, Kak Ana bagi salam tapi tak terjawab. 

“Kak Ana pun masuk sebab pintu tak berkunci. Masuk-masuk ada dua ketul makhluk tak berbaju tengah berselimut dan terbaring dekat ruang tamu. Ya, Sara dan suami dia. Kak Ana terus jerit sambil marah-marah dan tinggikan suara dekat dua ketul itu. Sara menangis. Mak cik puaka keluar bilik pujuk anak dia. 

“Suami Kak Ana pula tengking dia. Sampai rumah Kak Ana menangis tiada henti dan tetap menunggu suami balik. Padahal sang suami diam-diam pergi kahwin lain dekat Siam. Beberapa minggu selepas itu, suami Kak Ana memang balik ke rumah. Tetapi bersama keluarga puaka itu. 

“Semua orang tak tahu pasal ini sebab Kak Ana dah tiada mak ayah. Rahsia pecah sebab dalam dua tahun lepas, Ira baru balik Malaysia. Ira nak jumpa Kak Ana tetapi dia selalu mengelak. Ira pun pakat dengan teman lelaki dia untuk terus rumah ke Kak Ana dekat Pahang. Terkejut tengok kakak dia yang dah kurus melidi.

“Masa itu Kak Ana yang cengkung dan selekeh tengah sapu laman sambil gendong anak kecil. Rupanya sudah tiga tahun Kak Ana dijadikan orang gaji di dalam rumah sendiri. Masak, kemas rumah, basuh baju, dan cuci tandas. Hatta darah Sara yang bocor dekat cadar pun Kak Ana yang sental.

“Keluarga puaka hanya goyang kaki sahaja. Suami Kak Ana buat bodoh sahaja. Kak Ana tiada bilik sendiri. Barang kemas pun dirampas keluarga angkat itu. Ira bertanya kenapa sampai boleh jadi macam itu sekali? Apa salah Kak Ana? Katanya ini semua sebab budak kecil tadi. Ya, itu bukan anak Kak Ana. Tetapi anak Sara. 

“Suami dia bangga hamilkan Sara. Dia selalu hina Kak Ana yang tak dapat bagi dia zuriat. Jadi dia paksa Kak Ana untuk jaga zuriat itu. Masa Ira datang, suami Kak Ana dan keluarga puaka itu tengah bersuka-ria bercuti di Singapora. Anak tinggal, suruh Kak Ana jaga. Ira paksa Kak Ana ikut balik masa itu juga. 

“Merayu-rayu Ira dekat Kak Ana sampaikan terpaksa buat cerita yang Mak Su konon tengah sakit tenat. Alhamdulillah taktik itu berjaya. Kak Ana kemaskan baju budak itu dan barang peribadi dia yang hanya tinggal seberapa sahaja. Tetapi keadaan Kak Ana malangnya tetap tak membaik. 

“Budak itu pula dirampas keluarga puaka. Memang bukan anak sendiri, tetapi kalau Kak Ana yang jaga dari bayi mestilah sayang. Aku rasa cukuplah sampai di sini aku cerita. Yang penting, kamu semua bantu doakan Kak Ana cepat sembuh dan kembali jadi macam dahulu.” Pinta Piya menerusi laman luahan di atas talian.

Baca juga: Poket dah kering tapi gaji tak masuk lagi? Boleh cuba resepi sambal tumis sardin ini – “Dijamin terangkat!”