Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bakal menyalur bantuan segera berjumlah RM50 juta kepada mangsa banjir di Kelantan.
Menerusi bantuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu, setiap keluarga terjejas difahamkan bakal menerima saluran ‘terus’ sebanyak RM1,000.
Bukan itu sahaja, bantuan tambahan juga turut menyusul selepas segala kerosakan dan kerugian akibat banjir ini disahkan oleh pegawai yang dipertanggungjawabkan.
Khabar dikongsi Anwar selepas hadir melawat mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Pasir Mas.
Lawatan tersebut turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, lapor Malaysia Kini.
“Setakat ini, bagi mangsa-mangsa yang berada di PPS dan kawasan-kawasan lain (yang terjejas) kita meluluskan peruntukan awal melalui Nadma bernilai RM50 juta.
“Itu (disalurkan secara) terus kepada penduduk dan keluarga yang terlibat RM1,000 setiap keluarga. Ada yang bertanya dahulu sama ada tambahan. Ya, ada tambahan.
“(Tambahan diberi) setelah dikenal pasti kerosakan dan kerugian yang disahkan oleh pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan,” katanya memetik laporan Malaysia Kini.
Bagi menangani masalah banjir, Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan akan menyegerakan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2.
Justeru itu, pihaknya memohon agar kerajaan negeri Kelantan menjalankan tanggungjawab mereka untuk mempercepatkan proses pengambilan tanah dengan segera.
“Mengikut perancangan, projek PLSB Sungai Golok mengambil masa beberapa tahun. Namun kita akan menyegerakan projek berkenaan secepat mungkin dan dijangka fasa dua akan dimulakan bulan depan.
“Kita terpaksa mengambil langkah segera untuk fasa dua bagi mengurangkan tekanan banjir terutama di Rantau Panjang yang berdepan banjir sehingga empat kali setahun.” Jelasnya.
Baca juga: Betul ke cincin berlian 3.8 juta yang hilang di Paris milik Vivy Yusof? Ini respon tuan badan