Hati-hati guna resepi rahsia bancuhan kopi ini, juling biji mata lepas pekena segelas

Oleh WAN SITI AMINAH

Umum mengetahui, satu rangkaian kedai kopi popular di Malaysia terlibat dengan gerakan boikot kerana didakwa menyokong penindasan rakyat Palestin.

Meskipun ramai rakyat tempatan begitu bersemangat untuk memberikan sokongan, ada juga individu yang berdepan kesukaran dalam memboikot jenama kopi tersebut.

Dikatakan mempunyai rasa yang sedap, pelanggan setia rangkaian kedai tersebut mungkin sukar untuk menemui pengganti jenama kopi lain untuk dijadikan sebagai alternatif.

Prihatin dengan kegusaran orang ramai, seorang bekas barista atau pembuat kopi yang pernah bekerja di rangkaian kedai berkenaan tampil berkongsi resipi rahsia bancuhannya.

“Berbekalkan pengalaman bekerja di Starbucks berbelas tahun dahulu. Ini formula mengikut selera aku. Kalau nak rasa macam almond latte, letak minyak kelapa dara dalam sesudu kecil.

“Tetapi Nescafe ini power, macam panadol. Juling biji mata kalau minum. Resepi ini untuk seorang minum. Nescafe sedap bergantung pada kesempurnaan warnanya.

“Kepada penagih (kopi) sekalian alam. Kalau boleh sehari sekali dua cukuplah. Jangan pakai gelas besar, 280 ke 325 milimeter sudah okay. Asal hilang ketagih,” katanya.

Resepi bancuhan kopi

1. Masukkan sesudu kecil Nescafe di dalam gelas. Pastikan jumlah serbuk kopi segera tersebut tidak penuh menggunung di dalam sudu.

2. Kemudian, campurkan susu cair dalam dua hingga empat sudu kecil mengikut selera anda sendiri.

3. Setelah itu, boleh tambahkan satu setengah hingga dua sudu kecil susu manis di dalam cawan yang sama.

4. Campur dan kacau semua bahan.

5. Selepas selesai kacau baru tuangkan air yang betul-betul panas mendidih.

6. Sudah siap. Pastikan warna kopi yang dibancuh terlihat seperti Sungai Pahang. Boleh tambah minyak kelapa dara.

“Sudah terbiasa dengan etika budaya kerja Starbucks dahulu kala. Jangan pernah tambah air sehingga penuh. Mesti 3/4. Memang sedap, jangan ketagihan sudahlah.

“Buat anda yang merupakan penggemar Nescafe itu memang wajib cuba! Barulah terbuka luas mata sebelum pergi kerja.” Ujar pemuda berkenaan.

Resipi bancuhan kopi berkenaan dikongsikan oleh bekas pekerja Starbucks itu menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di laman Facebook milik Viral Oh Viral.

Baca juga: Raja Ilya terkejut suami ‘request’ pengat Durian, keluarga mentua bahan sampai licin!