Bukan ulat parkir, DBKL rupanya sewakan tempat letak kereta pada syarikat persendirian

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pengguna TikTok telah berjaya mencuri perhatian orang ramai, baru-baru ini selepas mendakwa individu dipercayai ulat parkir mencalarkan kereta miliknya.

Ulat parkir itu dikatakan bertindak sedemikian selepas pemilik enggan membayar caj bernilai RM15 selepas meletakkan kenderaan di tepi jalan di Maybank Bukit Bintang.

Memandangkan pihak berkuasa tidak bertugas pada malam hari, pemilik kenderaan bercalar itu menyangka tapak tempat letak kereta (TLK) tersebut tidak perlu dibayar.

Namun sangkaannya meleset apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan kenyataan menjelaskan situasi sebenar berhubung LTK itu, semalam.

Tampil memberi peringatan, DBKL memaklumkan bahawa tidak semua LTK di bawah kawalannya boleh diguna tanpa membuat sebarang bayaran selepas waktu pejabat.

Menyangkal dakwaan ia dikuasai ulat parkir, TLK terbuka yang terletak di tepi lorong Jalan Sultan Ismail itu rupanya disewakan pihak DBKL kepada syarikat persendirian.

Bukan itu sahaja, rupa-rupanya sejumlah 11 LTK di bawah kawalan pihak DBKL telah dilesenkannya sebagai joki parkir di sekitar Kuala Lumpur, lapor Malaysia Gazette.

“DBKL telah menyewakan urusan parking (parkir) ini kepada syarikat persendirian untuk menguruskan lapan petak letak kereta secara joki yang beroperasi selepas waktu pejabat.

“Pihak operator joki telah diarahkan meletakkan papan tanda makluman operasi TLK joki di tapak berkenaan dengan segera bagi memastikan orang awam maklum mengenai perkhidmatan tersebut,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagaimanapun memandang serius kegiatan ulat parkir di sekitar ibu negara dan telah mengambil tindakan untuk membanterasnya.

DBKL juga akan terus melakukan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih kerap di kawasan tumpuan ulat parkir iaitu di Bukit Bintang, Jalan Beremi dan Jalan Walter Grenier.

Untuk rekod, seramai 75 ulat parkir telah diambil tindakan sejak tahun lalu sehingga sekarang di bawah Seksyen 50(3) dan Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

DBKL turut menyarankan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian terutama di kawasan pusat bandar.

Selain tidak perlu membayar parkir, amalan ini juga mampu mengatasi isu kesesakan lalulintas serta membantu usaha DBKL untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Baca juga: Hati-hati guna resepi rahsia bancuhan kopi ini, juling biji mata lepas pekena segelas