Pelawak yang sering menghiasi kaca televisyen di awal tahun 2000, Hamdan Ramli kini terpaksa ditidurkan selepas disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah.
Anggota kumpulan Senario itu dimasukan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor.
Menurut Kosmo, anak bongsu pelawak tersebut, Nur Natasya Umairah memaklumkan Hamdan pada mulanya mengalami cirit-birit akibat keracunan makanan.
“Ayah mengalami cirit-birit sejak semalam dan berlarutan sehingga hari ini sebelum kami bawanya ke hospital sekitar pukul 11 pagi.
“Tiba-tiba ayah sukar untuk bernafas. Selepas pemeriksaan lanjut, doktor maklumkan dia perlu ditidurkan kerana jangkitan kuman dalam darah agak tinggi.
“Kalau normal, bacaan hanya bawah 10 tetapi hasil pemeriksaan, bacaan ayah ialah 32, sangat tinggi,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Bagaimanapun doktor memaklumkan status terkini pelawak tersebut sebagai stabil tapi masih ditidurkan kerana jantung lemah dan paru-paru berair.
“Kuman dalam darah tinggi, kemudian doktor maklumkan jantungnya lemah dan paru-paru juga berair.
“Setakat pukul 7 malam tadi, doktor maklumkan keadaan ayah stabil tetapi masih belum tahu lagi berapa lama perlu ditidurkan.
“Sekarang, kami sekeluarga ada dengan ayah di hospital dan akan menjaganya secara bergilir-gilir.
“Saya mohon pada seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan kesihatan bapa saya. Doakan dia kuat dan sembuh daripada sebarang penyakit,” tambahnya.
Natasya pada masa sama memaklumkan bahawa anggota Senario lain turut mendoakan bapanya dan akan melawat selepas persembahan selesai.