Lebih rela rugi daripada ‘promote’, Ryan Bakery pulangkan baki bayaran jenama produk yang diboikot

Oleh MAISARAH AISYA

Timbul isu pempengaruh atau influencer yang masih mempromosi jenama produk yang sedang diboikot rakyat Malaysia.

Jenama produk kebanyakan diboikot atas solidariti terhadap rakyat Palestin, selepas syarikat tersebut menunjukkan sokongan kepada Israel.

Lebih mementingkan isu kemanusiaan, Ryan Bakery memilih untuk memulangkan semula wang bayaran diterima daripada satu jenama ini lapor Kosmo.

“Sebelum ini saya ada terima ‘job’ dari jenama produk diboikot dan ada yang masih mempunyai baki perlu selesaikan.

“Saya akui perkara ini membuatkan saya resah, duit sudah digunakan sebab tugas sudah lama disiapkan.

“Sesebuah kempen ada durasi serta tarikh tertentu yang menuntut saya memuat naik kandungan bagi produk tersebut.

“Jadi, saya terpaksa berunding untuk ‘potong’, sebab faham perkara ini terlalu sensitif,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Namun dia tidak memadamkan kandungan yang sudah dimuat naik sebelum boikot bermula dan lebih mementingkan keberkatan dalam pekerjaan.

Bagi pencipta kandungan yang berusia 28 tahun itu, dia sedar wang ringgit hanya bersifat sementara dan masih banyak pekerjaan buatnya.

“Saya yakin dengan rezeki Allah. Saya tiada rasa ragu-ragu dan maklumkan pada pihak pengurusan, Indigital Music mengenai pendirian saya.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan, pelanggan juga memahami dan perbincangan antara saya bersama mereka berjalan lancar.

“Bagi saya, keberkatan dalam pekerjaaan sangat penting dan kalau boleh saya elakkan perkara melibatkan barangan Israel.

“Dulu memang saya kurang cakna, sekarang apabila saya tahu, barulah saya mula buka mata dan faham,” tambahnya.

Rata-rata rakyat Malaysia sangat lantang dalam mengecam artis Korea kerana masih minum air kopi jenama yang diboikot.

Kini yang menjadi kecaman adalah artis dan pempengaruh yang masih aktif mempromosi mi segera walaupun sedar rakyat negara ini memboikot jenama tersebut.

Baca juga: Isu boikot jejas perniagaan, McDonald’s hantar surat saman kepada BDS Malaysia