Hanya kerana rasa kasih yang mendalam terhadap seorang pemuda, wanita ini tergamak merampas kekasih orang untuk dijadikan suami.
Walaupun berjaya melangsungkan perkahwinan selepas mengatur pelbagai strategi, rumah tangga wanita itu bagaimanapun retak selepas hanya enam bulan menikah.
Mana tidaknya, lelaki berkenaan masih menyebut nama kekasihnya malah tidak berhenti memuji wanita tersebut di depan isterinya semata-mata untuk menyakitkan hati.
Rasa menyesal mula timbul di lubuk hati, berikut kami kongsikan luahan seorang wanita dikenali sebagai Nur yang masih mahu menyelamatkan rumah tangganya.
“Assalamualaikum semua. Nama aku Nur, berusia 28 tahun. Aku mahukan pendapat kamu semua. Sebenarnya dari mula, hanya aku yang inginkan suami. Dia tak memilih aku pun dari awal. Rasanya ini kesilapanku. Kami sama-sama bekerja dalam sektor kerajaan, tetapi berlainan kementerian.
“Kenal dengan dia dari umur 18. Tetapi setakat kenal macam itu sahajalah. Suami itu bekas rakan sekelas saya. Selepas itu kami terputus hubungan. Sewaktu itu, dia sudah ada teman wanita. Saya juga ada kekasih. Kemudian pada tahun 2022 yang lalu, kami terjumpa semula.
“Aku pindah semula di cawangan tempat kelahiran sendiri iaitu di Johor. Suami juga sama. Kami pun bertegur semula sebagai kawan sahaja. Tetapi kebetulan, nenek dia sakit. Jadi, suami minta tolong untuk uruskan temu janji dan perubatan nenek dia itu. Dipendekkan cerita, aku memang suka dia.
“Aku tertarik sebab dia ini lelaki yang baik, family man. Tetapi sayangnya, sudah ada kekasih. Teman wanitanya aku kenal, junior kami. Cantik orangnya, ayu pula. Berpakaian sopan, budak pandai dan juga bakal guru. Tetapi silapnya aku di sini. Aku rasa macam layak untuk suami. Sebab aku yang kenal dia dahulu.
“Jadi, aku tak kisah dia sudah ada kekasih. Nenek dia pun berkenan disebabkan aku selalu uruskan temu janji dan perubatan dia. Nenek suami ajak aku ke rumah mereka. Setiap kali ada majlis, memang mak dia sendiri pun jemput aku datang. Masa ini, suami di Kedah kerana bekerja di sana.
“Kekasih dia tak pernah diajak ke rumah itu. Sebab masih belajar, praktikal guru. Usia kekasih dia dengan kami berdua beza tiga tahun sahaja. Aku ada ikuti kekasihnya di sosial media. Aku suka cara dia, matang. Tetapi aku bernekad untuk memiliki suami. Walaupun aku tahu, dia tak suka aku pun.
“Pentingkan diri aku ini kan? Dipendekkan cerita, suami hanya anggap aku sebagai kawan. Tetapi selepas setahun berlalu, ibu bapa dia mula tanya bila kami berdua nak kursus kahwin. Suami tahu perkara ini pun last minute. Padahal, dia sudah lama pergi kursus kahwin dengan kekasihnya.
“Tetapi sebab keluarga dia bersetuju, jadi aku tetap teruskan. Kekasih dia langsung tak tahu tentang perkara ini. Aku buat kesilapan besar. Suami cakap, walaupun keluarga sudah berkenan dengan aku, dia tetap akan tunggu kekasihnya. Pergilah kursus kahwin seorang diri.
“Tetapi disebabkan aku ingin memiliki suami, aku rela datang ke rumahnya melawat untuk mengambil hati keluarganya. Tidak lama kemudian, keluarganya meminta aku dengan suami bertunang. Dia sejujurnya memang tak mahu, tetapi dipaksa. Suami memang tak pernah suka aku.
“Tetapi nak buat macam mana, keluarga suami berkenan dengan aku. Bukan kekasih dia. Mungkin mereka rasa dia masih budak lagi. Suami sebagai family man akhirnya akur dan kami bertunang. Masa bertunang, aku tahu suami masih berjumpa dengan kekasih dia. Aku tahu wanita itu patah hati.
“Aku tak kisah, janji aku kahwin dengan suami. Aku yakin, suami jenis yang akur pada keluarga. Dia tak akan berani putuskan tunang atau batalkan perkahwinan. Lebih lagi kalau melibatkan keluarga. Kekasih dia sebenarnya ada hantar pesanan pada aku di Facebook kerana inginkan kepastian. Tapi ya, aku yang bodoh.
“Aku sekat kekasih dia di Messenger. Sebab, aku yang lebih layak untuk suami. Dan selepas dua bulan, kami pun selamat bernikah. Pada mulanya, aku bahagia sebab berjaya kahwin dengan lelaki pilihan aku. Tetapi entah kenapa aku rasa tidak tenang. Dia pun selalu cakap, kalau bukan sebabkan kehendak keluarga, perkahwinan ini tak kan terjadi. Dia masih sayangkan kekasihnya.
“Tetapi keluarga dia memang terima sebab aku sudah bekerja tetap. Jauh di hati, aku kesiankan kekasihnya tetapi aku sudah pun menikah dengannya. Suami selalu memuji bekas kekasihnya di depan aku sebagai isterinya. Dia masih menghubungi kekasihnya. Aku yang bersalah dalam hal ini.
“Sepatutnya, aku tak boleh pentingkan diri dalam hal ini. Sekarang ini, sudah enam bulan kami berkahwin. Tetapi aku masih rasa belum bahagia sebab suami masih ingatkan kekasihnya. Apa patut aku buat? Aku tahu, mungkin suami jodoh aku. Tetapi kenapa aku masih tak tenang?.” Soal wanita itu di laman luahan atas talian.
Baca juga: Lagenda bola sepak terpaksa lelong pingat, kelab Pantai Timur tak bayar gaji 4 bulan