Isu murid tanpa dokumen kewarganegaraan, KPM cari jalan penyelesaian

Oleh MAISARAH AISYA

Tular baru-baru ini mengenai luahan individu yang mempersoal mengapa anaknya tidak dibenarkan meneruskan persekolahan walaupun tidak menghadapi masalah itu sebelum ini.

Pelajar tersebut dikatakan mampu mendaftar sekolah walaupun tanpa dokumen kewarganegaraan dan hanya mengalami masalah baru-baru ini.

Media melaporkan kanak-kanak berusia 10 tahun itu tidak dapat meneruskan darjah empat kerana isu dokumentasi kewarganegaraan.

Ia adalah berikutan ibu bapanya tidak mendaftar perkahwinan yang kemudian bercerai pada 2013.

Pada mulanya, isu dokumentasi tersebut tidak menjadi masalah buat sekolah apabila keluarga pelajar tersebut membayar RM120 setiap tahun.

Namun disebabkan dasar baru dikeluarkan KPM, murid tersebut tidak dibenarkan meneruskan persekolahan penggal baru yang bakal bermula Mac ini.

Memetik BERNAMA, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengadakan pertemuan dengan keluarga murid tanpa dokumen kewarganegaraan tersebut.

Dalam kenyataan dikeluarkan, KPM memaklumkan pertemuan tersebut diadakan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) pada 28 Disember lepas.

Ia adalah bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan murid berkenaan meneruskan persekolahan seperti biasa.

“Beberapa cadangan penyelesaian telah dikemukakan berkaitan dengan keperluan dokumentasi kewarganegaraan murid terbabit.

“Pihak JPNS pula komited untuk membantu dari aspek pengurusan pendaftaran murid di sekolah.

“Pertemuan telah berlangsung dalam suasana harmoni dan mencapai hasil yang positif,” menurut kenyataan itu.

KPM sentiasa berusaha meningkatkan akses pendidikan berkualiti untuk semua murid warganegara selain selari dengan agenda pendidikan manusiawi iaitu memastikan tiada murid yang tercicir.

Baca juga: Shuib dedah separuh pendapatannya kini diberikan kepada Watie, semua kerana Watie buat perkara ini