Wanita dakwa diabaikan pelakon popular lepas gugurkan kandungan, kini derita rahim terkena jangkitan

Oleh MAISARAH AISYA

Termakan pujuk rayu seorang pelakon, wanita berusia 21 tahun sanggup menggugurkan kandungan selepas dijanjikan sebuah perkahwinan.

Namun segalanya berubah selepas laporan polis ditarik balik, dirinya juga sudah menggugurkan kandungan pada Oktober lalu.

Memetik Harian Metro, wanita itu mendakwa dirinya tidur bersama seorang pelakon popular.

Kini dia menanggung kesakitan akibat jangkitan di bahagian rahim selepas menggugurkan kandungan

“Saya sanggup menarik semula laporan polis dan menggugurkan kandungan selepas termakan segala pujuk rayunya yang konon mahu menjaga saya sebaik menggugurkan kandungan.

“Dia turut berjanji untuk mengahwini saya walaupun harapan untuk hamil lagi agak susah kerana mengambil ubat gugur janin.

“Malangnya kata-kata manis yang diberikan itu hanya untuk melepaskan diri dan tidak mahu bertanggungjawab sedangkan saya sekarang terpaksa berulang-alik ke hospital kerana mengalami jangkitan pada alat kelamin.

“Saya hanya mengetahui masalah ini dua minggu lalu selepas doktor memberitahu proses pengguguran melalui pil gugur janin yang saya ambil tidak berkesan sepenuhnya. Ada janin yang masih berada di dalam badan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Tambahnya niat dia membuka aib sendiri bukanlah untuk belas kasihan atau mengharap pelakon tersebut mengahwininya tapi lebih kepada tanggungjawab.

Wanita itu turut memaklumkan bahawa pelakon tersebut tidak pernah bertanya khabar atau memberi sokongan seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Ketika dia menanggung segala sakit, si lelaki dilihat seronok menikmati kehidupan seolah-olah tiada apa yang terjadi kepadanya.

“Saya mahu dia menerima balasan yang setimpal. Biarlah saya dan dia diheret ke muka pengadilan atas kesalahan yang kami lakukan.

“Saya mahu dia belajar daripada pengajaran ini, bukan bebas dan menjalani kehidupan dengan penuh bahagia,” katanya.

Baca juga: 45 tahun abadikan diri di gereja, paderi akhirnya terbuka hati peluk Islam