Pelakon Bollywood terkenal, Rani Mukerji kembali menjadi topik perbincangan hangat selepas membuat pendedahan mengejutkan, baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika menjalani penggambaran, Rani mengaku pernah diusung ke kereta kerana sudah tidak mampu bergerak sendiri.
Ketika kejadian, pelakon berusia 45 tahun itu sedang melakukan penggambaran bagi satu babak dalam filem Kabhi Alvida Naa Kehna bersama heronya, Shah Rukh Khan.
Dalam babak tersebut, Rani yang melakukan segerak suara (miming) bersama Shah Rukh Khan bagi lagu Tumhi Dekho Naa itu hanya memakai sari nipis bewarna merah.
Terpaksa menahan kesejukkan ketika sedang belakon, pelakon kelahiran Mumbai itu bagaimanapun terpaksa diusung selepas selesai penggambaran, lapor Etvbharat.
“Saya memakai sari merah ketika mempersembahkan lagu tersebut. Sebenarnya waktu itu, badan saya sudah ‘membeku’. Saya langsung tidak boleh berjalan.
“Kemudian, salah seorang sepupu yang juga penolong pengarah (filem tersebut) iaitu Ayan Mukerji terpaksa mengusung saya ke kereta kerana saya sudah membeku.
“Anda boleh melihat semula babak itu, bibir membeku ketika saya lip-sync. Tetapi saya tetap cuba menyanyi sampaikan terlihat sensual, padahal tidak,” katanya memetik laporan Etvbharat.
Difahamkan, situasi mencemaskan itu terjadi kerana penggambaran dilakukan di luar studio sedangkan Rani mengenakan sari nipis di suhu mencecah -14 darjah Celcius.
Perkara tersebut didedahkan Rani dalam satu sesi temu bual bersama Galatta Plus Mega Pan India Roundtable 2023 yang turut dihadiri oleh pengarah, Karan Johar.
Karan selaku pengarah filem Kabhi Alvida Naa Kehna itu turut berkongsi memorinya dimarahi staf bahagian kesihatan dan keselamatan ketika menjalani penggambaran.
Hal ini kerana, Karan telah bertindak keterlaluan berikutan ingin memasukkan babak hujan ketika suhu mencecah -14 darjah Celcius dalam proses pembikinan filem itu.
Percaturan pengarah itu bagaimanapun tidak berjaya kerana air yang keluar daripada mesin hujan bertukar menjadi ais sebelum menyentuh badan pelakon termasuk Rani Mukerji.
Baca juga: Patung Ironman berderai pecah dijatuhkan kanak-kanak, kedai terpaksa tanggung rugi lebih RM10,000