Sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen untuk mengutip zakat disyaki melakukan pecah amanah dengan menyeleweng wang kutipan sebanyak RM9.62 juta.
Difahamkan, syarikat yang dilantik oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) itu gagal mendepositkan wang zakat bermula Mac hingga September 2023.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman akan merakamkan keterangan pihak syarikat terbabit untuk membantu siasatan.
Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memaklumkan, jabatan itu sedang menyiasat empat kes pecah amanah berkaitan kutipan zakat, lapor Sinar Harian.
“Kes tersebut antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat dalam tempoh tahun lalu di mana dua kes direkodkan di Selangor, masing-masing satu kes di Terengganu dan Perak.
“Kes di Perak mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM9,629,682 selepas disyaki telah gagal mendepositkan wang kutipan zakat. Kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
“Kita memberikan amaran keras kepada pelaku-pelaku jenayah ini bahawa tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang akan diambil bagi memastikan jenayah sebegini tidak berulang,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Jumlah kerugian keseluruhan bagi kesemua kes pecah amanah itu adalah sebanyak RM9,714,182 di mana Perak mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM9,629,682.
Menurut Ramli, kes tersebut amatlah mendukacitakan apabila individu-individu yang diamanahkan untuk mengutip wang zakat tergamak melakukan perbuatan jenayah.
“Perkara ini tidak sewajarnya berlaku kerana zakat merupakan satu daripada lima rukun Islam yang menjadi pegangan setiap Muslim.
“Sewajarnya, wang kutipan zakat diuruskan dengan baik dan penuh amanah agar ianya dapat dimanfaatkan sesuai dengan kehendak agama.” Ulas Datuk Seri Ramli.
Baca juga: Dugaan datang bertalu-talu, Shila Amzah kini dikurniakan hadiah terindah dari Ilahi