Pemilik Bezza rosak hargai netizen, masalah selesai lepas tular – Kerana gula, semut bersatu!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang kerani di Johor menarik nafas lega selepas isu berhubung kereta Perodua Bezza miliknya yang rosak selepas lapan jam dibeli akhirnya selesai.

Hal ini ekoran pihak Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah bersetuju membeli semula Bezza rosak milik Nagakanni Subramaniam itu dengan harga penuh.

Nagakanni turut berpeluang untuk mendapatkan kereta Bezza baharu dengan kadar pinjaman yang sama atau menolak tawaran berkenaan dan membeli kenderaan lain.

Tidak perlu lagi membayar ansuran bulanan untuk kereta lama, khabar gembira itu dikongsi Nagakanni menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebooknya.

“Perodua akhirnya setuju untuk membeli semula kereta saya dengan harga penuh!

“Dengan keputusan ini, saya tak perlu lagi bayar bulan-bulan untuk kereta lama dan semua bayaran yang dibuat sebelum ni pun akan dapat semula pemulangan wang.

“Perodua juga memberi tawaran untuk saya beli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama ATAU menolak tawaran ini dan beli kereta lain,” katanya.

Pemilik Perodua Bezza 1.3 X itu bagaimanapun hanya diberi masa selama tujuh hari bagi membuat keputusan untuk menerima atau pun menolak tawaran berkenaan.

Hantaran pertama Nagakanni mengenai keretanya yang rosak selepas lapan jam dibeli.

Selain berterima kasih kepada Perodua, kerani itu turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai kerana membantu menularkan perkongsiannya, baru-baru ini.

Menyifatkan dirinya sebagai kerani semut (kecil), Nagakanni tidak menyangka dirinya dengan bantuan orang ramai telah berjaya menuntut hak daripada syarikat gergasi.

“Terima kasih kepada semua yang membantu saya menuntut hak ini. Saya terhutang budi dengan anda. Perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya seorang kerani yang hanya semut ini.

“Tetapi saya belajar sesuatu. Walaupun kita kecil seperti semut, kalau bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya. Akhirnya, kerana gula, semut bersatu.” Ulasnya dalam hantaran sama.

Terdahulu, wanita itu meluahkan kekecewaan apabila Perodua Bezza 1.3 X miliknya rosak selepas lapan jam dibeli dari wakil pengedar di Segamat, Johor pada 17 Oktober lalu.

Lebih memburukkan keadaan, Nagakanni Subramaniam juga masih perlu membayar ansuran bulanan bernilai RM537 meskipun sudah lebih dua bulan keretanya tersadai.

Baca juga: Anak artis pun pakai Perodua Axia je! Netizen puji Ajai tak manjakan anak walaupun banyak duit