Tak sangka robot vacuum jadi punca, Yana Samsudin dikejarkan ke hospital kerana masalah ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Yana Samsudin dikejarkan ke hospital baru-baru ini selepas mengalami gejala praeklampsia atau penyakit darah tinggi dialami ibu hamil.

Berkongsi pengalamannya di Instagram, Yana memaklumkan kejadian itu bermula apabila dirinya terlihat anak bermain dengan penyapu robot vakum dan bakul sampah.

Yana yang masih bekerja walaupun telah sarat mengandung itu difahamkan terpaksa membawa anak-anaknya ke pejabat memandangkan tiada orang gaji di rumah.

Khuatir dijangkiti virus Covid-19, pemilik nama sebenar Norliana Samsudin itu sudah memberi amaran kepada anak-anaknya agar tidak keluar daripada bilik pejabatnya.

Siapa sangka, keputusan tersebut malah menjejaskan kesihatan dan menyebabkan pemilik nama sebenar Nurliana Samsudin itu mendapatkan rawatan di hospital.

“Kerana penyapu robot aku kena darah tinggi! Ya, kena Praeklampsia. Kira-kira tiga minggu lepas. Kali ini saya bawa anak-anak, Mateen dan Aura ke pejabat sebab tiada pembantu rumah.

“Saya sudah pesan pada anak-anak hanya duduk bermain di dalam bilik sahaja, jangan keluar bermain di ruangan pekerja lain kerana risau virus Covid-19 mungkin ada lagi. Tetapi sudah nama budak kan? 

“Mereka main juga lari-lari. Sampailah malam, apabila mesyuarat sudah berakhir baru saya perasan. Anak saya main lari-lari satu pejabat, sampai bakul sampah kosong dia masukkan ke kepala untuk jadi naga,” kongsinya.

Pelakon berusia 40 tahun itu bagaimanapun mula naik berang selepas melihat anak perempuannya memasukkan penyapu robot vakum ke dalam mulut seperti lollipop.

Menyedari kejadian itu memberi kesan kepada kesihatan, Yana segera mendapatkan rawatan dan menerima suntikan untuk menurunkan tahap tekanan darahnya.

Doktor turut menasihati agar bintang filem Adnan Sempit itu berehat secukupnya kerana tekanan boleh menyebabkan strok lalu membahayakan bayi dalam kandungan.

“Pukul 1 pagi saya mengamuk macam orang kena rasuk! Saya jerit sekuat hati marah anak sampai saya menangis-nangis. Dalam perjalanan pulang pun saya menangis dalam kereta.

“Doktor juga minta saya berehat dari segala pekerjaan yang dilakukan sekarang ini dan bagi surat rujuk untuk masuk ke hospital.” Ulas pelantun lagu Beginilah Caranya itu.

Untuk makluman, Yana dan suami iaitu Fadzil Zahari berkahwin pada 13 Februari 2015 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Aisy Mateen, 8, dan Aura Aisy Sofa yang kini berusia empat tahun.

Yana kini sedang hamil lapan bulan dan sedang menanti kelahiran cahaya mata ketiga.

Baca juga: “Arwah selalu pesan jangan tinggal solat” – Yassin, Azlee terkenang kembali masa bersama Hamdan