Usahawan selebriti, Aeril Zafrel baru-baru ini berjaya mencuri tumpuan selepas memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di akaun Instagram miliknya.
Rakaman tersebut memaparkan kelibat seorang lelaki mencurigakan yang sedang mengangkat kotak dipercayai berisi produk keluaran syarikat pelakon berkenaan.
Menurut Aeril, lelaki tersebut bukanlah orang asing sebaliknya pekerja di syarikatnya yang menghilangkan diri selepas melakukan pecah amanah dengan mencuri stok.
Suami kepada pelakon, Wawa Zainal itu turut memuat naik gambar wajah pekerjanya dalam hantaran yang sama untuk meminta bantuan orang ramai bagi menjejakinya.
“Ada yang kenal mamat (lelaki) ini? Kes staf pecah amanah dan bawa lari stok sebab dari semalam telefon dan WhatsApp tidak dibalas,” tulis Aeril di ruangan kapsyen.
Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata pengguna media sosial menyelar tindakan pekerja tersebut yang cuba mendapatkan keuntungan dengan cara salah.
Namun siapa sangka, ada juga beberapa individu tidak bersetuju dengan tindakan pelakon yang terkenal menerusi drama Kisah Kaisara itu memuat naik muka pelaku.
Kononnya telah mendedahkan aib pelaku, ramai juga yang berpendapat bahawa stok dicuri pekerja tersebut tidak terlalu banyak hingga merugikan perniagaan Aeril.
“Dua kotak yang dia ambil itu tak menjadikannya kaya. Abang ada banyak lagi kotak untuk dijual. Ikhlaskan abang, mana tahu dia terdesak,” kongsi seorang pengguna.
“Yang mencuri itu memang salah. Tetapi mengaibkan orang pun salah juga. Lapor sahaja kepada polis. Biar sahaja pihak polis yang selesaikan.” Kata pengguna lain.
Walau bagaimanapun, pandangan tidak berasas itu langsung dibidas warga siber lain yang menegaskan bahawa perbuatan mencuri tidak boleh dinormalisasikan.
Boleh menjadi ikutan jika dibiarkan, kegiatan tersebut bukan sahaja salah dari segi semua agama di Malaysia malah boleh dihukum berat oleh institusi perundangan.
Dalam perkembangan terbaharu, isteri Aeril tampil membuat penjelasan menerusi perkongsian di Instastory miliknya mengenai nilai sebenar stok yang telah ‘dikebas’.
Mencatat kerugian mencecah puluhan ribu ringgit, barangan yang diambil pekerja berkenaan juga sudah dibayar dan sedia untuk diserahkan kepada para pelanggan.
“Dia ingat satu kotak itu bernilai ratus-ratus ringgit. Satu kotak itu (berisi stok) harga belas-belas ribu ringgit. Kotak itu sudah ada tuan yang punya, sudah ada pembeli.
“Tak pasal ejen kena bayar balik duit pelanggan.” Bidas Wawa Zainal atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin dalam hantaran Instastory tersebut.
Baca juga: “Jangan kaitkan arwah mak, tu semua kawan baik” – Khai Bahar berang dituduh bercuti dengan ‘ga*boy’