Uncle Choong nekad terjun longkang, selamatkan wanita hanyut dibawa arus deras

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki berusia 50-an sanggup terjun ke dalam longkang dalam usaha untuk menyelamatkan wanita yang dihanyutkan arus deras.

Mangsa difahamkan dibawa arus selepas kereta dinaikinya terbabas sebelum jatuh ke longkang di Kilometer 42.5, Jalan Johor Bahru-Mersing, dekat Kota Tinggi, Johor.

Dinobatkan sebagai hero, Choo Ngiam Choong sedang menuju ke Mawai dari Kota Tinggi sebelum melihat rakan yang memandu di laluan sama menghentikan kenderaan.

Sebaik sahaja keluar dari kenderaan, Choo terkejut apabila mendapati sebuah kereta dan juga dua orang wanita dihanyutkan oleh arus deras di dalam longkang tersebut.

Choo yang langsung tidak memikirkan keselamatan dirinya itu terus bertindak terjun untuk membantu seorang wanita yang masih lagi terkapai-kapai, lapor Harian Metro.

@sinarharianonline

Tular rakaman video dimuat naik di Facebook Orang Kota Tinggi memaparkan seorang wanita berdepan detik cemas apabila dia dihanyutkan arus deras setelah kereta dipandunya terjatuh ke dalam longkang besar. Dalam rakaman itu, seorang lelaki bertindak terjun ke dalam longkang untuk menyelamatkan wanita tersebut yang berpaut pada Perodua Myvi berwarna kelabu. #fyp #beritaditiktok #Viral

♬ original sound – Sinar Harian – Sinar Harian

“Saya tidak berfikir panjang untuk terjun menyelamatkan wanita itu ketika ternampak mereka dihanyutkan air (arus) deras. Seorang wanita (rakan mangsa) sempat menyelamatkan diri.

“Manakala mangsa pula hanyut dan boleh lemas. Saya terus terjun ke dalam longkang mencapai wanita itu dan beberapa rakan serta orang awam di situ juga membantu.

“Saya gembira dapat menyelamatkan wanita itu dalam tempoh kurang lima saat bagi mengelakkannya ditimpa kejadian tidak diingini,” kongsi Choo memetik laporan Harian Metro.

Berasal dari Kota Tinggi, Choo yang bekerja sebagai kontraktor itu merasa bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan ketika membantu wanita berkenaan.

“Saya memang pandai berenang. Saya bersyukur memiliki stamina yang bagus untuk membantu mangsa itu. Wang ringgit masih boleh dicari namun sekiranya nyawa melayang, tiada galang gantinya.” Ulasnya.

Terdahulu, tular satu rakaman di pelbagai platform media sosial memaparkan aksi berani Choo yang terus terjun ke dalam arus deras untuk menyelamatkan mangsa lemas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, insiden yang berlaku pada 9 pagi, Ahad itu menyaksikan sebuah kereta jenis Perodua Myvi hilang kawalan.

Kenderaan dinaiki dua wanita berusia 37 dan 43 tahun itu dihanyutkan arus deras selepas mereka terbabas ke dalam longkang di sebelah kanan menghala ke Kota Tinggi.

Baca juga: Selalu masak guna ‘air fryer’, wanita ini kongsi tips penting yang anda perlu ikut!