Seorang pemuda menasihatkan mereka yang baru pencen agar tidak meneruskan niat menggunakan wang persaraan mereka untuk membuka perniagaan restoran.
Individu yang bernama Hafiz Mansor berkata, banyak cabaran dan kesukaran yang ramai tidak sedar apabila membuka perniagaan makanan lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman.
Ini kerana menurutnya, lebih banyak keburukan dari kebaikan yang mana antaranya duit persaraan beratus ribu ringgit bakal lebur begitu sahaja tanpa pulangan semula duit modal.
Akhirnya perniagaan terpaksa ditutup, hubungan dengan keluarga juga berantakan disebabkan duit simpanan habis tanpa ada tersisa.
Kami kongsikan artikel penuh yang dimuat naik di Facebook Hafiz Mansor. Semoga bermanfaat.
Orang baru lepas pencen jangan buka restoran!
Saya lihat terlalu ramai orang lepas pencen terima duit ratus ribu dalam simpanan dia lepas tu dia buka kedai makan atau restoran.
Dia sebelum ni kerja makan gaji dan tiada pengalaman berniaga. Bila ada duit, dia rasa nak ada satu perniagaan yang boleh dia buat sesuatu dan menghabiskan hari tua dengan gandakan duit yang ada.
Ada juga yang tanya anak, nak buat perniagaan apa. Anak pun cadang buka kedai makan paling senang. Anak yang tiada pengalaman berniaga kata dia boleh uruskan.
Apa yang berlaku, mereka mula cari kedai dan habiskan duit dekat pengubahsuaian kedai bagi cantik. Ada juga dia punya syok nak pengubahsuaian kedai, dari jauh ingat butik pengantin, rupanya restoran.
Meja kerusi tak nak mengalah. Macam kerusi sultan brunei. daun-daun atas siling terjuntai dah macam hutan amazon.
Duit tengah ada kan. Puas lihat kedai nampak gah. Lepas tu buat 5-10 menu makanan. Ambil pekerja ramai. Buat pelancaran kedai pun orang tak perasan kedai wujud sebab tak ada ilmu pelancaran.
Mula uar-uarman di dalam kumpulan kawasan setempat. Ada yang datang tapi tak ramai sebab nampak kedai macam mewah. Orang ingat harga mahal. Jualan tak banyak, mula rasa penat dan tertekan.
Selepas 6 bulan berniaga mula pening kepala sebab jualan tak seperti yang diharapkan. Sewa kedai beribu kena bayar. Pekerja ramai kena bayar. Akhirnya tutup.
Mulalah bergaduh laki bini di umur yang senja. Hubungan dengan anak-anak mula tak elok. Dari bahagia dah jadi macam kat neraka.
Ini yang kita tak mahu berlaku.
Saya memang tak galakkan orang pencen yang tak ada pengalaman berniaga ni, untuk buka perniagaan restoran kecuali dia memang ada sedikit pengalaman sebelum ni dan ada anak yang memang berniaga dengan cemerlang.
Kalau teringin sangat-sangat dah nak berniaga makanan, mula dengan buka gerai atau payung tepi jalan. Cuba jual 1-2 makanan dahulu. Paling mudah berniaga pagi macam nasi lemak.
Kalau ramai beli, hasil memuaskan dalam tempoh 6 bulan, baru lah fikir nak ke tahap seterusnya. Duit simpanan tak rugi, kepala pun tak serabut tapi tetap penat juga atas faktor umur.
Di usia tua dan dah pencen ni, pada pendapat saya, elok duit yang ada ratus ribu tu buat beli tanah dan bina rumah pintu atau bina rumah buat rumah penginapan.
Buat sikit-sikit dulu. Janganlah pergi buat 5-10 biji sekali gus. Lagi satu, jangan salah pilih kontraktor pula.
Nak buat pula jangan jauh sangat dari tempat kediaman. Mudah nak uruskan dan pantau.
Sekurang-kurangnya tanah dan rumah adalah hak kita. Tak lah rasa rugi sangat dan nampak depan mata. Tak hilang.
Sebulan dapat RM1500-RM3000 (bergantung kepada berapa unit rumah atau berapa ramai sewa rumah inap) sebulan bagi orang pencen kira ok dah tu dari tak dapat langsung duit sampingan.
Hidup di usia tua dengan kesihatan yang makin menurun, tak perlulah habiskan duit yang diterima ratus ribu tu dengan buka restoran.
Ramai dah dok tengok perniagaan lingkup sebab tak ada pengalaman tapi ada duit demi memenuhi impian sendiri atau impian anak.
Jadi, hargai dan gunalah duit pencen yang anda terima segedebuk tu di tempat yang betul. Jadi ejen MLM ka, ejen insurans ka, Forex pun jangan sertai sebab tenaga dah tak sekuat dulu.
Tua-tua ni nak tenang je.
Baca juga: “Aku sedar diri menumpang jadi aku buat kerja rumah, tapi ada saja salah di mata mak mentua…”