“Buat untuk dakwah”, Ketua Dewan Ulama Pas pertahan Sanusi berkaraoke tengah malam dengan wanita

Oleh WAN SITI AMINAH

Perbuatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang berkaraoke dengan seorang wanita disifatkan partinya sebagai berdakwah.

Mengejutkan, perkara itu diakui oleh Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya dalam Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden di Kedah, baru-baru ini.

Ahmad Yahaya yang menyampaikan ucapan penutup dalam majlis itu berkata, setiap sasaran dakwah sebenarnya mempunyai pendekatan dan juga cara yang berbeza.

Jelasnya, terdapat golongan yang boleh didekati melalui kuliah-kuliah ilmu manakala kelompok lain perlu dicari di padang bola, stadium serta ruang-ruang di media sosial.

Hal ini bermakna, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah itu berkaraoke hingga jam 2 pagi di TikTok hanya untuk menyampaikan dakwah kepada golongan sukar didekati.

“Mereka ini tidak hadir kuliah-kuliah ilmu. Jadi, macam mana kita nak ambil (mereka) ini? Mungkin ini yang dilakukan oleh Datuk Seri MB (Sanusi) sampai tengah malam,” katanya.

Ahmad Yahaya yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah itu berpendapat bahawa Sanusi menjalankan tanggungjawabnya mendekati mereka ‘bukan dari golongan agama’.

“Mungkin nampak kurang selesa atau kurang sesuai. Tetapi yang hebatnya, setiap kali MB bersiaran langsung di TikTok, isterinya juga akan berada di sebelahnya.

“Apabila tengok di TikTok itu, nampak macam ada dua orang sahaja (MB dan host wanita) tetapi isterinya ada bersama. Tidak mengapa, Pas akan menguruskan hal ini.

“Tetapi dalam masa yang sama, pandangan Sanusi sendiri juga akan dipertimbangkan oleh pihak kita.” Ulasnya memberi bayangan isu itu akan diberi tindakan lanjut.

Terdahulu, Sanusi telah mengundang kecaman orang ramai selepas didapati ‘ralik’ berkaraoke dengan seorang perempuan sehingga pukul 2 pagi di platform TikTok.

Bukannya bekerja keras menyelesaikan masalah rakyat, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu malah sibuk bersiaran langsung di media sosial miliknya.

Perbuatan Sanusi ini bukan sahaja mencemar imejnya sebagai wakil rakyat, tetapi langsung tidak mencerminkan akhlak pemimpin parti yang menjunjung agama Islam.

Baca juga: Penduduk turap sendiri jalan berlubang siap guna cat kuning tulis “duit saya”, tidak mahu YB kawasan dapat nama