Polis disyaki samun dan perkosa pelajar, netizen tuntut pemilihan anggota diketatkan

Oleh WAN SITI AMINAH

Kes samun dan pemerkosaan pelajar bawah umur melibatkan dua anggota polis baru-baru ini telah menimbulkan kerisauan dan kemarahan orang ramai.

Mana tidaknya, pihak berkuasa yang diharapkan untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman malah bertindak mengkhianati kepercayaan diberikan orang awam.

Susulan itu, seorang pengguna media sosial tampil mempersoalkan bagaimanakah institusi keselamatan itu membuat pemilihan dan memeriksa kelayakan anggotanya.

Persoalan pengguna tersebut telah membangkitkan satu perbincangan hangat di mana orang ramai menyeru agar pemilihan anggota polis diperketatkan di masa hadapan.

“Mereka seharusnya mempunyai ‘standard’ yang lebih tinggi (pemilihan anggota). Jika anggota adalah orang yang melanggar undang-undang, maka pada siapa kita nak percaya,” kata seorang pengguna.

“Kebanyakkan budak sekolah aku yang kelas belakang jadi polis. Peraturan sekolah pun tak ikut. Bukan semua perangai jahat tetapi majoriti. Institusi polis kenapa makin teruk? Sebab akarnya rosak,” kongsi pengguna lain.

Terdahulu, dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya ditahan kelmarin berhubung kes samun dan rogol pelajar asing.

Dalam kejadian yang berlaku di Bukit Ampang, Selasa lalu, dua anggota itu sedang melakukan rondaan sebelum memeriksa sebuah kenderaan pada jam 9.45 malam.

Kereta jenis Volkswagen Golf yang ditahan itu dinaiki dua mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun dan seorang wanita warga Uzbekistan berusia 17 tahun.

Salah seorang suspek yang merupakan anggota polis itu kemudian disyaki merogol mangsa wanita ketika rakan sekerjanya membawa mangsa lelaki ke sebuah bank.

Difahamkan, mangsa diarah untuk menyerahkan RM500 jika tidak mahu ditangkap dan dibawa ke Balai Polis kerana gagal membayar wang tunai RM2,000 atas satu kesalahan lalu-lintas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, kedua-dua suspek ditahan pada jam 6 petang, kelmarin dan bakal direman pihaknya selama tujuh hari.

Bagi kedua-dua kes ini, dua kertas siasatan telah dibuka iaitu satu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan manakala satu lagi di bawah Seksyen 395/397 kanun sama.

Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 376 KK, anggota polis itu boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebat manakala Seksyen 395/397 KK boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Baca juga: Dua anggota polis ditahan reman, disyaki samun dan perkosa pelajar bawah umur