Najib mohon ‘Man On The Run’ diturunkan, larang tayang di Netflix

Oleh MAISARAH AISYA

Satu dokumentari mengenai skandal 1MDB, ‘Man On The Run’ diarahkan, ditulis dan diterbitkan oleh Cassius Michael telah ditayangkan menerusi aplikasi Netflix.

Umum sedia tahu nama yang terpalit bersama skandal tersebut adalah bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Berikutan itu, Najib memohon kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya mengambil tindakan menurunkan dan melarang tayangan dokumentari tersebut.

Menurut Harian Metro, Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihak yang diwawancara dalam dokumentari itu menyatakan pelbagai perkara terhadap anak guamnya.

Tambahnya ia dilihat bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah.

Pada masa sama Shafee menegaskan ia juga belum dan tidak pernah dibuktikan sama ada melalui keterangan dokumentari dan lisan saksi yang dikemukakan dalam mana-mana perbicaraan termasuk kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Man On The Run (MOTR)

Menurut Sinar Harian, MOTR mendedahkan kisah benar yang mengejutkan tentang rasuah dan pengkhianatan yang menggegarkan kestabilan kewangan seluruh negara.

Ia turut melibatkan seorang ahli perniagaan misteri, Jho Low yang terkenal di kalangan selebriti antarabangsa. yang merancang untuk mengeksploitasi dana kekayaan Malaysia.

Jho Low dipercayai menyalurkan berbilion-bilion duit ke dalam akaun bank global untuk memupuk gaya hidupnya yang mewah.

Ini termasuk pesta Hollywood dan bahkan membiayai pembikinan filem The Wolf Of Wall Street.

Lebih menarik adalah temu bual bersama Najib turut disertakan dalam dokumentari tersebut.

Filem dokumentari Man on the Run ditayangkan di Netflix kini melonjak ke tempat kedua dalam 10 Filem Terbaik platform penstriman di Malaysia.

Baca juga: “Buat untuk dakwah”, Ketua Dewan Ulama Pas pertahan Sanusi berkaraoke tengah malam dengan wanita