“Lelaki dicintai akhirnya melamar aku. Macam mana nak cakap aku dah ada suami?”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak dapat menahan sunyi apabila ditinggalkan suami untuk bekerja dalam industri minyak dan gas di luar pesisiran pantai (offshore).

Memuat naik aplikasi janji temu (dating) bagi mengisi rasa kekosongan di hati, wanita yang dikenali sebagai Sally itu mula rasa seronok apabila ditemani lelaki tak dikenali.

Walaupun sering dihubungi suaminya, Sally masih belum rasa puas hingga akhirnya dipertemukan dengan seorang lelaki bujang yang berjaya menambat hati sepinya itu.

Rasa insaf bagaimanapun mula timbul di diri Sally setelah lelaki itu meluahkan hasrat untuk melamarnya menjadi isteri yang sah tanpa mengetahui status perkahwinannya.

Bertekad untuk berubah, berikut perkongsian wanita yang memiliki kesedaran untuk menyelamatkan perkahwinan dan mencari kebahagiaan dalam rumah tangganya.

Salam semua, nama aku Sally. Aku seorang isteri kepada pekerja minyak dan gas (O&G). Tahukan, orang yang mencari rezeki dalam bidang itu akan bekerja di luar pesisir (offshore) berbulan lamanya. Pada awal perkahwinan sebenarnya kami hidup berdua. Bekerja juga di tempat yang sama. 

“Tetapi selepas setahun berkahwin, suami terima tawaran bekerja di bidang tersebut. Aku mula ditinggalkan selama beberapa bulan. Awalnya, baik-baik sahaja. Tetapi bila bulan makan ke tahun, aku terasa sunyi yang amat. Lama-kelamaan sunyi itu terasa kosong walaupun suami kerap menghubungi dan membuat panggilan video.

“Apabila hilang rasa kenikmatan perkahwinan, aku mula muat naik aplikasi janji temu (dating). Aku berjumpa dengan lelaki sana sini. Aku rasa seronok sebab nak pergi ke mana-mana, sentiasa ada teman. Apabila ditanya mengenai status, aku akan jawab aku bujang. Malangnya aku juga mula suka kepada seorang lelaki bujang.

“Aku bagi nama dia A. Dari suka bertukar jadi cinta. Aku tahu apa yang dilakukan ini salah. Tetapi aku rasa seronok sebab rasa kesunyian itu sudah pun terisi. Pada suatu hari, suami balik rumah senyap-senyap untuk buat kejutan padaku. Aku tengah tidur. Entah macam mana, suami perasan ada notifikasi Whatsapp masuk. Jadi kantoilah.

“Suami baca segala perbualan aku dengan A di Whatsapp. Dia teruslah mengamuk dan menumbuk pintu bilik. Aku minta maaf, tetapi suami diam. Sepanjang hari suami tak bertegur dengan aku. Mulalah aku rasa bersalah teramat. Keesokkan harinya, dia maafkan aku. Aku janji takkan ulangi perbuatan itu lagi.

“Selepas kejadian itu, aku memang tak buat dah. Selama berbulan macam biasa, ok sahaja bila berjauhan dengan dia. Kami masih buat panggilan telefon dan juga video macam biasa. Namun apabila rasa sunyi itu muncul balik, aku akan mencari semula A. Lelaki yang aku jatuh cinta melalui aplikasi itu.

“Sekarang ini, lelaki A nak masuk meminang aku. Jadi serba salah sebab aku menipu lelaki A itu. Aku juga rasa bodoh sebab rosakkan kepercayaan yang diberikan suami. Sekarang ini, hati aku dengan suami semakin pudar. Aku mula berpaling arah kepada lelaki A itu. Aku tahu apa yang aku buat ini memang berdosa.

“Aku sebenarnya memang nak berubah. Jadi aku nak minta pendapat kamu semua. Macam mana aku nak warnai semula perasaan dengan suami yang makin pudar itu. Bagaimana pula aku nak lari dari lelaki A itu? Adakah aku patut beritahu yang diri ini sebenarnya isteri orang atau bagaimana? Aku memang nak berubah.

“Aku nak cari kebahagian dalam rumah tangga. Tetapi aku buntu macam mana nak mulakan. Harap kamu semua dapat berikan nasihat yang murni. Janganlah marah sampai menghina aku. Terima kasih. Maaf ayat aku macam kapal karam.” Kongi Sally (bukan nama sebenar) dalam laman luahan atas talian.

Baca juga: Lucinta Luna mahu berubah, derma rambut palsu kepada pesakit kanser