Sesuai untuk ibu berpantang, suami wajib cuba resepi Lempeng Pisang Kurma Madu ini!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pengguna Facebook telah berjaya mencuri tumpuan setelah berkongsi satu resepi iaitu Lempeng Pisang Kurma Madu di akaun miliknya.

Mana tidaknya, resepi yang diperbuat daripada buah itu sangat sesuai dinikmati oleh wanita berpantang kerana ia mempunyai nutrisi tinggi buat bayi dan ibu menyusu.

Sangat cepat dan mudah untuk disediakan, para lelaki bergelar bapa yang tidak begitu mahir memasak juga boleh mencuba resepi ini untuk dihidangkan kepada isteri.

Boleh memberi tenaga kepada ibu berpantang, berikut kami kongsikan resepi berdasarkan satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun Facebook milik Nurasykin Ali.

“Resepi ini sangat mudah untuk disediakan. Ibu berpantang dan menyusu memang sesuai makan sarapan seperti ini. Lengkap dengan nutrisi sebab ada pisang, kurma, susu dan madu asli.

“Boleh tingkatkan susu ibu dan sekaligus memberi tenaga. Kalau masak menu yang rumit, nanti terkejar-kejar pula. Jadi, bolehlah kita buat sarapan pagi yang sederhana dan semua orang boleh makan.

“Sukatan ini boleh dapat sebanyak tiga keping Lempeng Pisang Kurma Kurma Madu yang bersaiz sederhana. Kalau nak banyak, gandakan sahaja bahannya.” Katanya.

Bahan-bahan:

  • Sebiji pisang
  • Lima biji kurma
  • Satu pertiga susu penuh krim
  • Satu perempat cawan tepung
  • Madu asli

Cara-cara penyediaan:

1. Lenyekkan sebiji pisang. Sekiranya anda suka isi lempeng yang berketul, lenyekkan secara ala kadar sahaja. Jangan pula seronok melenyek sehingga halus sangat.

2. Kemudian, basuh dan cincang kurma yang sudah dibuang biji sebelum ditambah ke dalam adunan pisang.  Gaulkan semua bahan dengan sebati.

3. Setelah digaulkan, bolehlah dimasukkan tepung ke dalam bekas berkenaan dan jangan lupa untuk digaulkan sehingga sebati sekali lagi.

4. Kemudian, campurkan susu penuh krim yang telah disediakan dan kacau dengan sebati sehingga adunan menjadi halus dan juga kenyal.

5. Panaskan kuali pilihan anda dan sapukan sedikit mentega ke atasnya. Setelah itu, tuangkan sedikit adunan mengikut saiz pilihan anda ke atas kuali yang sudah panas.

6. Ratakan adunan dengan sudip ataupun sudu agar membentuk seperti lempeng yang tipis. Terbalikkan adunan agar kedua-dua sisi berwarna keemasan dan matang.

7.  Pastikan api tidak terlalu besar agar lempeng masak secara sekata. Kemudian, tuangkan madu asli ke atas lempeng sebagai pemanis tambahan. Siap untuk dihidang!

Baca juga: Peniaga rela hancurkan kafe sendiri, halang cubaan ‘sailang’ dari pelanggan setia