Pendengar setia Suria FM baru-baru ini dikejutkan dengan khabar penamatan kontrak penyampai radio kegemaran mereka, Tyzo Zander.
Seperti yang dijangka, rata-rata pendengar meluahkan kekecewaan mereka di media sosial kerana tidak bersetuju dengan keputusan pihak pengurusan radio Suria FM itu.
Ramai hairan mengapa keputusan itu diambil sedangkan Tyzo telah mengharumkan nama stesen radio dengan memenangi Anugerah Penyampai Radio Paling Popular pada tahun lalu.
Timbul juga spekulasi yang mendakwa Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd. Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin sebagai punca penyampai radio itu ditamatkan kontrak.
Hal ini kerana Tyzo telah menamatkan ‘penguasaan’ DJ Lin dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) setelah merampas gelaran Penyampai Radio Popular dari rakan sekerjanya itu.
Menyangkal dakwaan tersebut, seorang sumber mendedahkan bahawa kenaikan gaji menjadi punca pemilik nama sebenar Tuah Zolqarnain Idris itu ditamatkan kontrak, lapor Malaysia Gazette.
Selepas memperoleh gelaran Penyampai Radio Paling Popular di ABPBH Ke-35 pada tahun lalu, Tyzo didakwa meminta kenaikan gaji selain telah mendapat tawaran daripada stesen radio lain.
Namun, pihak pengurusan sumber manusia dikatakan hanya mampu memberi sebahagian daripada kenaikan dan tidak dapat memenuhi permintaan penyampai radio yang berusia 49 tahun itu.
Tyzo bagaimanapun bersedia menyambung kontrak asalkan Suria FM bersetuju dengan syaratnya termasuk dibenarkan berkhidmat pada tempoh tertentu dan boleh meletak jawatan dalam masa 24 jam.
Tawaran tersebut dibawa kepada pihak pengurusan tertinggi syarikat yang kemudian membuat keputusan untuk tidak lagi menyambung kontraknya dan mencari penyampai radio baharu.
Dalam perkembangan terbaharu, DJ Lin memaklumkan bahawa satu sidang media khas akan diadakan pihak Suria FM pada 19 Januari ini untuk menjelaskan isu yang hangat diperkatakan itu.
“Insya-Allah, Jumaat depan kami akan jelaskan semuanya dalam satu sidang media. Saya tidak pernah menghampakan wartawan sebelum ini setiap kali mahu mendapatkan komen atau apa sahaja kenyataan.
“Tapi untuk kali ini, saya minta maaf. Tiada sebarang kenyataan boleh dikeluarkan sehingga Jumaat nanti.” Kata DJ Lin memetik laporan Malaysia Gazette.
Baca juga: Model tertua dunia ini masih bekerja pada usia 93 tahun, tapi wajah tak dimamah usia langsung!