Pandai membaca di usia 10 tahun, murid kelas pemulihan berjaya jadi pegawai bank – “Ibu bapa jangan mengalah”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pegawai bank telah berjaya mencuri tumpuan ramai selepas membuat satu pendedahan yang mengejutkan, baru-baru ini.

Menerusi platform TikTok, pegawai bank berkenaan tampil berkongsi perjuangannya mendaki tangga kejayaan sebagai pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran.

Siapa sangka, pemuda yang berjaya membina kejayaan dalam bidang perbankan itu rupa-rupanya baru sahaja pandai membaca ketika umurnya mencecah 10 tahun.

Bersyukur nasibnya berubah selepas ditukarkan ke kelas pemulihan, pegawai bank dikenali sebagai Nadzreen Razman itu turut memberi penghargaan kepada gurunya.

“Aku baru pandai membaca ketika darjah 4 setelah ditukarkan ke kelas permulihan. Ketika itu, bacaan masih merangkak sedangkan kawan-kawan lain semua sudah lancar.

“Keputusan UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) aku hanya dapat 3C, 1D dan 1E. Waktu itu, cukup bangga walaupun tak sehebat orang lain disebabkan oleh kemampuan aku ketika itu.

“Pesanan guru aku masa darjah 2, ‘bintang awak belum muncul lagi’. Di sekolah menengah, aku duduk kelas terakhir masa tingkatan 1. Alhamdulilah, berkat kesungguhan aku berjaya naik kelas,” katanya.

Nadzreen juga berjaya mengorak langkah lebih baik berbekalkan semangat kental dengan meraih keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang memuaskan.

Walaupun menghidap disleksia, Nadzeen tetap menyimpan harapan dan meletakkan sasaran tinggi untuk dicapai dalam pemeriksaan ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Usaha tidak mengkhianati hasil, pegawai bank itu bukan sahaja berjaya lulus semua mata pelajaran malah berhasil menempatkan dirinya dalam institusi menara gading.

“Aku usaha lebih dari orang normal. Orang lain belajar sekali dua sudah ‘dapat’. Aku kena berkali-kali diterangkan baru faham. Aku selalu bantu dan rapat dengan guru-guru sebab nak dapatkan ilmu lebih.

“Alhamdulilah dengan result baik, aku berjaya menyambung pelajaran ke peringkat diploma dan berjaya tamatkan dengan jayanya. Aku mula faham erti ‘bintang anda belum muncul’ selepas habis belajar.

“Tamat diploma, aku mohon sambung ijazah. Aku terima tawaran tetapi tak teruskan sebab dapat kerja di sebuah bank tempatan meskipun bukan dalam bidang yang diminat.” Ulasnya.

Membuat perkongsian bagi membuktikan kelemahan boleh menjadi kekuatan, lelaki itu turut menasihati ibu bapa yang memiliki anak disleksia agar tidak mengalah.

Dengan dorongan dan sokongan yang berterusan daripada ibu bapa, kanak-kanak disleksia boleh menggapai kejayaan seperti orang normal dengan izin Ilahi.

Baca juga: Elak bercinta dengan artis, Zarina Zainoordin pilih ahli perniagaan berstatus duda