“Hancur hati saya” – Noh Salleh maklum Musa diambil semula oleh Mizz Nina

Oleh MAISARAH AISYA

Sebelum ini timbul isu pembantu rumah melarikan anak selebriti hingga menyebabkan bekas isteri membuat laporan polis.

Bagaimanapun dakwaan tersebut disangkal Noh Salleh yang memaklumkan dia mengambil anak angkat, Musa dengan cara sah.

Dalam satu temu bual bersama Melodi, Noh mendakwa Musa selamat berada di bawah jagaannya dan tiada istilah penculikan.

“Saya mahu menyangkal cerita mengenai culik anak itu. Tiada penculikan langsung. Musa diserahkan oleh ibu kandungnya untuk dijaga dengan rela hati.

“Memang saya difitnah melalui tuduhan yang teruk. Saya perlu bersuara sebab tiada unsur penculikan langsung,” katanya dalam temu bual bersama media.

Malah desas desus yang menyatakan Musa dibawa lari oleh pembantu rumah dan ditahan pihak berkuasa juga sudah disangkal kerana dia dipanggil untuk membantu siasatan.

“Tiada penangkapan. Hanya pergi ke balai memberikan kenyataan. Tak ada juga yang kena gari atau masuk lokap.

“Polis minta kerjasama, kita bagi dan mereka faham situasi. Memang tiada unsur jenayah mahupun penculikan,” ujarnya.

Mizz Nina datang ambil Musa

Dalam hantaran terbaru dimuat naik di Instagram, Noh memaklumkan bekas isterinya diiring polis untuk mengambil semula anak mereka di kediaman miliknya.

“Malam semalam dalam jam lebih kurang 8.30 malam pihak Mizz Nina telah pun hadir di rumah saya bersama dengan suaminya serta pihak polis dan beberapa orang lain yang tidak dikenali.

“Atas tujuan mengambil Musa dari jagaan saya dengan perintah interim (perintah jagaan sementara) dari mahkamah syariah sebelum sesi mediasi di mahkamah syariah.

“Saya faham dan bagi menghormati perintah mahkamah, saya dengan terpaksa dan berat hati menyerahkan Musa kembali dan akan meminta nasihat peguam saya.

“Hanya tuhan sahaja yang mengetahui betapa hancurnya hati saya semalam,” ujarnya dalam hantaran di Instagram.

Pada masa sama dia hanya mendoakan kesihatan yang baik buat anak angkatnya dan mengharap kenyataan dikeluarkan menjawab spekulasi pihak-pihak lain.

Baca juga: Elak bercinta dengan artis, Zarina Zainoordin pilih ahli perniagaan berstatus duda