Kerja seorang diri, peniaga percaya pelanggan bayar dan ambil duit baki sendiri dalam kotak duit

Oleh MAISARAH AISYA

Selalunya duit menjadi isu penting buat peniaga kerana itu adalah sumber utama pendapatan harian mereka.

Namun ada pihak yang percaya dengan pelanggan apabila sanggup meletakkan bekas berisi duit agar pembeli boleh membuat transaksi sendiri.

Sebelum ini tular di Malaysia mengenai kedai makan tanpa peniaga, di mana individu boleh mengambil makanan dan mengira sendiri serta membayar dalam kotak disediakan.

Di Singapura seorang pemilik kedai tanpa pekerja tambahan muncul dengan satu idea kreatif bagi membantunya.

Menurut portal berita, Asiaone, peniaga tersebut meletakkan kotak besi berisi wang tunai dan syiling di meja pembayaran.

Pengguna Facebook, Lee Siew Yian memuat naik hantaran mengenai gerai makan di medan selera pusat beli-belah People’s Park Centre.

“Saya melihat kotak wang betul-betul diletakkan di kaunter semasa dia (peniaga) memasak mi.

“Dia tidak melihat kotak wang itu dan dia tidak mempunyai pembantu, hanya bekerja sendiri,” tulis Siew Yian di Facebook.

Dalam hantaran sama, Siew Yian turut berkongsi gambar papan tanda di hadapan gerai berhampiran kotak wang itu.

“Kaedah pembayaran adalah layan diri. Bekas untuk bawa pulang makanan dicaj SG$0.30 (RM1.04). Terima kasih atas kerjasama anda,” ujar tulisan tersebut.