Pelanggan terkejut warung di Langkawi caj RM20 untuk ayam goreng kunyit, harga pula tak termasuk nasi putih

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pelanggan terkejut apabila sebuah warung di Pantai Chenang, Langkawi didakwa mengenakan caj RM20 untuk sepinggan kecil ayam goreng kunyit.

Tambah mengejutkan, harga ayam goreng kunyit yang dijual pada kadar tidak berpatutan itu tidak termasuk dengan harga nasi putih.

Berdasarkan resit yang dikongsi pengadu dikenali sebagai Hada Jais, dia dicaj RM20 untuk ayam goreng kunyit, RM3 untuk sepinggan nasi putih manakala air kosong pula dicaj RM1 dengan harga keseluruhan makanan dipesannya berjumlah RM24.

“Patutlah org luaq kata Langkawi mahai. Hampa rasa berbaloi ke kena harga macam ni? 

“Nasi putih RM3, ayam goreng kunyit macam tu saja sorang makan RM20. Ais kosong RM1, naya kena 24ringgit.

“Tu gambaq kedai aku dah ambil tengoklah kat mana kawasan Chenang. Jangan hampa terkena sudah,” katanya dalam satu hantaran di laman kumpulan Facebook Langkawi Sana Sini.

Berdasarkan gambar yang dikongsi, kedai tersebut bukanlah kafe mahupun restoran berpenghawa dingin, tetapi hanya warung di tepi jalan.

Pada masa sama, pengadu terbabit meminta netizen jangan mengecamnya kerana membuat hantaran itu di media sosial susulan rasa tidak berpuas hati dengan harga yang dikenakan untuk sepiring ayam goreng kunyit dipesannya.

Resit itu kini tular di media sosial sejak semalam.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, isu ini sudah sampai ke pengetahuan KPDN dan siasatan sedang dijalankan.

“Saya sudah mengarahkan pegawai penguatkuasa membuat siasatan dan jika ada kes kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan bawah peraturan sedia ada,” katanya ketika memetik Berita Harian semalam.

Baca juga: Senang rupanya buat Creme Brulee, guna 3 bahan sahaja