Personaliti media sosial, Elcah kembali menjadi topik perbincangan hangat selepas melangsungkan perkahwinan untuk kali ketiga pada malam Ahad lalu.
Mana tidaknya, pemilik nama sebenar Aien Hasha itu telah menerima sebuah kereta mewah dari suaminya iaitu Mercedes siri CLA45S dalam majlis perkahwinan tersebut.
Bukan sebarangan hadiah, kenderaan mewah buatan Jerman yang berwarna putih itu rupa-rupanya dijadikan suami ketiga Elcah iaitu Hafizuddin sebagai mas kahwin.
Para tetamu yang hadir dalam acara pernikahan Elcah itu difahamkan turut merasa terkejut ketika terdengar nama kereta Mercedes dalam lafaz ijab dan kabul diucapkan Hafizuddin.
“Tahniah Elcah dan Suami. Aku siap tersedak air sirap masa dengar mas kahwin itu tau!,” kata jurusolek artis terkenal, Syadewa dalam satu hantaran tular di Instastory.
Untuk makluman, ini adalah pernikahan kali ketiga buat Elcah selepas dirinya gagal mempertahankan ‘dua’ rumah tangga yang dibina pada tahun 2015 dan juga 2023.
Elcah sebelum ini pernah menjadi sorotan pengguna media sosial tempatan selepas mendedahkan dirinya diceraikan bekas suami dalam tempoh lapan hari perkahwinan.
Hal ini berikutan, wanita tersebut enggan berpoligami dengan kekasih kepada bekas suaminya (perkahwinan kedua) yang dikatakan sudah mengandung anak luar nikah.
Nasib bagaimanapun masih menyebelahi wanita yang berusia 28 tahun itu apabila kembali bergelar isteri dalam satu majlis penuh meriah di The Urban Kuala Lumpur.
Menerusi hantaran di Instagram, majlis pernikahan tersebut turut dihadiri oleh rakan selebriti antaranya adalah Scha Ellinea, Fatin Afeefa, Raff Yaakob dan juga Kak KM.
Diharapkan, pernikahan ketiga Elcah ini akan dilimpahi dengan kebahagiaan dan keberkatan dari Ilahi serta kekal berpimpin tangan sehingga ke Jannah.
Baca juga: “7 tahun aku bersabar, tapi suami tetap pilih kawan berbanding kami, akhirnya aku buat keputusan”