Seorang peniaga meluahkan rasa kesal apabila ada yang mendakwa tindakannya menjual nasi berlauk pada harga RM3.50 sebungkus, sebagai mahu menutup rezeki peniaga lain.
Peniaga yang dikenali sebagai Nurul Shima itu berkata, individu terbabit siap memberi saranan agar dia menaikkan harga jualan kepada RM4.50.

“Datanglah seorang Hamba Allah ke gerai nasi bajet baru-baru ini. RM3.50 sebungkus ke? tanya dia. Saya pun ye.
“Dia tanya lagi lauk asing atau campur nasi? Dan saya pun jawablah lauk asing.
“Dan dia pun tanya lagi sampailah ke peringkat saya terkedu kejap bila dia cakap:
“Awak ni nak tutup periuk rezeki orang yang jual nasi lain ke? Kalau awak jual harga begini, macam mana peniaga lain nak hidup? Mesti orang beli dekat awak sebab murah. Awak kena naikkan harga jadi RM4.50, kena selarikan nasi rahmah,” kongsi Shima di aplikasi X.
Shima juga berkata, dia sempat diceramah oleh Individu itu yang tiba-tiba datang ke gerainya.
“Aikkk. Dia dah tanya itu ini, selepas itu dia ceramahkan saya pula.
“Encik amik sebungkus ni, saya bagi percuma je. Encik cuba. Kalau ok, boleh singgah beli nanti. Saya senyum dan malas nak layan.
“Pelbagai peel orang yang datang singgah gerai nasi bajet saya ni. Kadang ada rasa nak tepuk dahi sendiri kat situ juga,” tambahnya lagi.