Meskipun mendapat tentangan, konsert penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 9 Mac ini tidak akan ditunda.
Sebelum ini media melaporkan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa penyanyi tersebut untuk menunda tarikh penganjuran konsert bagi memberi penghormatan kepada kehadiran bulan Ramadan.
Bagaimanapun pengasas kepada Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa memaklumkan pihak mereka tidak akan menunda konsert tersebut.
Tujuan utama melaksanakan kosnert tersebut adalah bagi mengumpul dana sumbangan kepada mangsa perang di Palestin.
Jelasnya, penundaan konsert ‘Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’ hanya akan memberi impak negatif kepada semua pihak terlibat.
“Penundaan konsert itu akan beri implikasi yang besar kepada banyak pihak, khususnya bahagian produksi serta pengurusan Perbadanan Stadium Nasional.
“Bahkan, apa yang kami gusarkan sekiranya penundaan konsert dibuat, maka dana yang sewajarnya tidak dapat disalurkan dalam kadar segera kepada golongan yang sudah dikenal pasti sebagai penerima terutamanya mangsa perang di Palestin.
“Kita tak mampu untuk menunda bekalan makanan dan bahan asas untuk saudara kita di Palestin. Komitmen kami kepada mangsa-mangsa perang di Palestin perlu diteruskan sejak kami memulakannya pada Oktober lalu.
“Terlewat sehari dua sahaja, boleh mengundang malapetaka lain buat mereka. Oleh itu, Yayasan Nurjiwa berpendapat, ada baiknya konsert diteruskan demi untuk mencari dana,” ujar kenyataan dimuat naik di @nurjiwa_foundation.
Tambah kenyataan tersebut, pihak mereka sudah membuat tempahan kepada pihak pengurusan stadium sejak awal 2023 namun tarikh kosong hanya pada Mac tahun ini.
“Kami di Yayasan Nurjiwa juga sudah diberitahu oleh pengurusan stadium bahawa 9 Mac sahaja, tarikh kosong yang ada untuk sepanjang 2024 yang boleh ditawarkan kepada kami.
“Untuk pengetahuan semua, pihak kami sudah mula membuat tempahan dengan pengurusan stadium sejak awal tahun lalu.
“Namun, tarikh yang sepatutnya itu tidak dapat kami laksanakan dan mohon penangguhan dengan mendapatkan tarikh baharu.
“Namun, memahami matlamat dan objektif utama penganjuran konsert membuatkan kami mencapai keputusan secara konsesus untuk meneruskannya,” ujar kenyataan itu.
Baca juga: Khairy Jamaluddin terkejut umurnya sebaya Tyzo, minta tips untuk kekal awet muda