Berjaya tarik ramai pelanggan, pekerja dari Melaka ini terima hadiah kereta Tesla

Oleh WAN SITI AMINAH

“Hempas tulang berisi perut”, itulah peribahasa sesuai untuk menggambarkan nasib seorang pekerja di Melaka yang menerima hadiah kereta daripada syarikatnya.

Bukan sebarangan kereta, pekerja cemerlang itu berjaya membawa pulang sebuah kenderaan berjenama Tesla dari Model 3 yang dikatakan bernilai sekitar RM200,000.

Pekerja bertuah yang dikenali sebagai Xiang Xiaohui Shelby itu merupakan Penolong Pengurus di premis Mamee Jonker House, Jonker Street, Melaka, lapor China Press.

Difahamkan, cawangan di Melaka itu telah berhasil menarik begitu ramai pelanggan dan juga pelancong dari pelbagai negara sejak ia mula dibuka beberapa tahun lalu.

Menjadi salah satu cawangan syarikat yang berprestasi terbaik, pencapaian tersebut telah melayakkan Shelby untuk menyertai cabutan bertuah buat pekerja cemerlang.

Cabutan bertuah itu diadakan pada majlis makan malam tahunan di The Vertical (VE Hotel & Residence) Connexion Conference & Event Centre (CCEC) di Kuala Lumpur.

Seramai 45 orang pekerja berprestasi cemerlang telah dianugerahkan penghargaan dalam majlis makan malam yang dihadiri oleh 550 kakitangan syarikat berkenaan.

Difahamkan, ada di antara 15 pekerja lain yang turut menyertai cabutan bertuah itu berjaya memenangi hadiah percutian ke luar negara termasuklah ke Korea Selatan.

Manakala kakitangan yang lain pula memenangi hadiah berupa wang tunai RM1,000.

Sementara itu, Shelby yang memenangi kereta Tesla itu berjaya memainkan peranan penting dalam mengembangkan jenama syarikat meskipun hanya bekerja di Melaka.

Tidak hanya membantu pencapaian syarikat dalam pasaran tempatan, Shelby juga dipuji kerana cawangan di Melaka itu berhasil menarik pelanggan antarabangsa.

Diharapkan lebih banyak syarikat di Malaysia menawarkan ganjaran kepada pekerja supaya mereka lebih bersemangat dalam menyumbang tenaga demi kejayaan bersama.

Baca juga: Isu KWSP pekerja Bubble Bee rupanya belum selesai, berhutang dari 2022 hingga 2023