Seorang pegawai polis berpangkat Lans Koperal berdepan dengan hukuman penjara hingga 30 tahun jika didapati bersalah menodai remaja warga asing, minggu lalu.
Menghadapi empat pertuduhan merogol, perbuatan hina itu dilakukan oleh pegawai tersebut ke atas remaja perempuan warga Uzbekistan di dalam kereta peronda polis.
Lans Koperal berkenaan turut melakukan amang seksual fizikal serta persetubuhan bertentangan aturan tabii ke atas gadis yang berusia 17 tahun itu tanpa kerelaannya.
Kesalahan dilakukan di tepi jalan Persiaran Saujana Ampang, jam 10.30 malam, 9 Januari lalu mengikut Seksyen 376(1), 377C, dan 377CA Kanun Keseksaan selain Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
Berhubung kesalahan tersebut, tertuduh yang merupakan bapa kepada dua anak itu berdepan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Tertuduh, Muhammad Fazrul Razzi Yunus bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Lans Koperal berusia 31 tahun itu didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang, Rabu lalu atas empat pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual, lapor Harian Metro.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Termasuk dalam syarat tambahan tersebut, Fazrul Razzi juga dikehendaki untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri di balai polis berdekatan.
Walau bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh iaitu peguam G Visvanathan Nair memohon supaya jaminan diturunkan kepada RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
“Anak guam menanggung isteri dan dua anak berusia setahun dan empat tahun serta bapa dan ibunya masing-masing berusia 76 tahun serta 70 tahun.
“Tertuduh juga mempunyai penyakit saraf otot dinamakan ‘Myasthenia gravis’,” jelas peguam berkenaan kepada pihak Hakim Norshila memetik laporan Harian Metro.
Norshila kemudian membenarkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan seperti diminta pendakwaan selepas mendengar hujah kedua belah pihak.
Sementara itu, Lans Koperal Fazrul dan rakan sekerjanya Konstabel Muhammad Adib Aikal Sharul Nizam, 24, turut mengaku tidak bersalah melakukan pemerasan terhadap kekasih remaja tersebut yang juga berusia 17 tahun.
Anggota berkenaan didakwa sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan sehingga mendorong mangsa lelaki menyerahkan wang sebanyak RM500.
Sekiranya gagal membuat bayaran, mereka akan menyebarkan satu rakaman video memaparkan teman lelaki mangsa dan remaja Uzbekistan yang sedang bercumbu.
Kesalahan dilakukan di tepi jalan Ampang Hillview, jam 10.09 malam, 9 Januari lalu dan anggota itu didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Sesyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit, jika disabitkan kesalahan.
Baca juga: Berjaya tarik ramai pelanggan, pekerja dari Melaka ini terima hadiah kereta Tesla