Sebut sahaja mi kuning, pasti pembaca sudah boleh bayangkan pelbagai hidangan enak yang boleh dimasak menggunakan bahan tersebut.
Lazat disantap panas-panas terutamanya pada musim hujan, mi ini adalah antara makanan yang sangat mudah untuk dibuat sendiri di rumah.
Tidak perlu menggunakan mesin, pembaca cuma perlu menyediakan lima bahan iaitu tepung gandum, garam, telur ayam, air dan juga serbuk kunyit.
Langsung tidak rumit, berikut kami kongsikan resipi mi kuning buatan sendiri daripada pengguna Facebook, Fahrini Marsyaley.
Berikut adalah bahan-bahan yang perlu disediakan berdasarkan hantaran Fahrini untuk hidangan disediakan bagi dua ke empat orang:
- 250 gram tepung gandum
- Secubit garam
- Sebiji telur ayam
- 50 milimeter air (lebihkan sedikit sukatan sekiranya sukar diuli)
- Satu sudu teh serbuk kunyit
Langkah-langkah buat mi kuning:
1. Gaul – gaulkan semua bahan yang dinyatakan di atas sehingga menjadi doh dan tidak melekat di tangan.
2. Bahagikan doh kepada beberapa bahagian kecil – potongkan doh yang telah diuli kepada 4-5 bahagian.
3. Canaikan – canaikan satu-satu doh yang telah dibahagikan sehingga nipis. Setelah nipis, potong halus-halus menggunakan pisau.
4. Rebus – masukkan mi kuning ke dalam air rebusan yang telah mendidih. Rebus dalam jangka masa seminit hingga dua minit sahaja.
“Takut terlalu lembik, mi tidak boleh direbus terlalu lama. Terus angkat dan toskan di bawah aliran air paip supaya tidak terlebih masak,” katanya.
5. Goreng seperti biasa – mi kuning sudah boleh digoreng seperti biasa mengikut selera anda. Boleh letak bawang, ayam, telur dan juga sawi.
Baca juga: Tak akan tunda, konsert Siti Nurhaliza fokus kepada amal bukan keuntungan semata