Tan Sri Hisham kongsi gambar tiga anak lelakinya, ramai pula cuba nasib nak jadi menantu

Oleh KIM SYAZIE

Perkongsian bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang memuat naik wajah ketiga-tiga anak lelakinya mencuri perhatian pengguna media sosial.

Dalam hantaran itu, Tan Sri Hisham memuat naik foto yang memaparkan anak-anaknya, Khalis, Khazin dan Khair semasa kecil.

Beliau juga memuat naik foto terkini anaknya yang sudah dewasa dan salah seorangnya sedang melanjutkan pelajaran di Manchester.

“Selama bertahun-tahun sebagai ibu bapa menyokong, membimbing dan menyelesaikan pelbagai isu dalam mewujudkan ikatan rapat dengan anak-anak. Ia memerlukan pertimbangan dan empati.

“Kita perlu mewujudkan keharmonian dan yang lebih penting hubungan yang berkekalan dengan YANG MAHA KUASA sebelum mereka melebarkan sayap ke seluruh pelosok dunia.

“Ini adalah tiga anak lelaki saya Khazin, Khalis dan Khair yang hari ini sudah dewasa,” titipnya di aplikasi X.

Sebaik sahaja Noor Hisham berkongsi gambar tiga anak lelakinya itu, ada dalam kalangan netizen berseloroh mahu menawarkan diri mahu menjadi menantu.

Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna memuji rupa paras anak lelaki Noor Hisham yang dikatakan mewarisi bapanya.

“Salam Papa, saya masih ada aplikasi MySejahtera,” komen Iman Capiyy.

“Saya Izzah, pernah dua kali vaksin dan dapat penyakit Covid-19 sampai tiga kali,” ujar Han.

“Assalamualaikum Dr., saya sejak PKP sampai sekarang tak pernah keluar rumah,” gurau Chaenie. 

Baca juga: Tak puas hati adik ipar sibuk bercuti, tak fikir soal nak ada anak, wanita tergamak hantar sihir