“Jiran meninggal digilis lori, aku langsung tak simpati lihat sisa isi badannya di jalan”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita langsung tidak menyangka, hidupnya bakal musnah di tangan insan bergelar jiran yang dikenali ramai sebagai ‘kaki masjid’.

Langsung tidak dipercayai kerana usianya baru sahaja mencecah enam tahun ketika kejadian berlaku, wanita itu menyimpan rasa benci yang mendalam kepada jirannya.

Perasaan benci masih kekal dalam diri wanita bernama Lily itu kerana jiran tersebut bukan sahaja merosakkan masa depannya, malah turut mengaibkan keluarganya.

Tampil membuat hantaran di laman luahan atas talian supaya dijadikan pengajaran kepada ibu bapa luar sana, berikut perkongsian Lily tentang episod gelap hidupnya.

“Aku gelarkan diri ini sebagai Lily. Aku ingin kongsikan sedikit pengalaman pahit yang pernah dilalui sewaktu zaman kanak-kanak. Seperti kanak-kanak biasa, aku belajar mengaji Iqra’ sewaktu berumur enam tahun. Rumah guru mengaji pula dekat sahaja, hanya selang enam buah rumah dari kediamanku.

“Untuk pengetahuan, aku mengaji di rumah Tok Papaya (bukan nama sebenar). Tok Papaya memiliki anak lelaki yang berusia 30-an semasa kejadian berlaku. Lelaki itu aku gelarkan sebagai Bang Mango. Aku selalu menjadi murid terawal yang datang ke rumah jiran itu untuk belajar mengaji.

“Sewaktu aku sedang menunggu Tok Papaya bersedia untuk mengajar, Bang Mango selalu datang menghampiri. Aku yang daif sewaktu itu tidak faham apa yang sedang terjadi. Bang Mango selalu meraba dan memeluk aku. Bukannya sekali, tetapi boleh dikatakan hampir setiap hari.

“Bang Mango terkenal dengan gelaran ‘kaki masjid’ sebab dia selalu ke masjid. Aku sama sekali tidak selesa dengan keadaan itu. Aku mula memberontak untuk mengaji. Apabila kelakuan mula aneh, kedua ibu bapa bertanya mengapa aku memberontak setiap kali disuruh ke rumah Tok Papaya.

“Kalau nak tahu, Bang Mango juga selalu meraba aku ketika jumpa di majlis kenduri di kawasan kampung. Pendek kata, dia selalu meraba aku setiap kali ada peluang. Aku mula bercerita tentang apa yang dilakukan oleh Bang Mango. Ibu bapa aku juga telah berjumpa dengan keluarga Tok Papaya.

“Namun seperti biasa, tiada siapa yang percaya dengan alasan aku masih budak-budak. Sejak itu, aku mula membenci Bang Mango sehingga kini walaupun usia telah mencecah 35 tahun. Aku yakin, ramai anak-anak yang mengaji di rumah itu menjadi mangsa kerakusan Bang Mango.

“Tahun lalu, kampung kami dikejutkan dengan berita kemalangan Bang Mango. Dia digilis oleh lori dan isi badannya hancur bertebaran di jalan. Bang Mango meninggal di tempat kejadian. Itulah kemalangan paling ngeri yang pernah berlaku di kampung kami. Aku? Masih sama, tidak seinci pun memaafkan dia.

“Lelaki itu telah merosakkan dan mengaibkan aku dan juga keluarga. Untuk kalian di luar sana yang bergelar ibu bapa, tolong peka dengan persekitaran anda. Anak-anak perempuan harus dididik dan dilindungi. Lebih-lebih pada akhir zaman ini. Semoga anak-anak kita diperlihara dari kejahatan syaitan bertopengkan manusia.” Katanya.

Baca juga: Gara-gara tak mahu bayar caj, pemandu sanggup hantar telefon bimbit penumpang kepada polis