Bukan murah nak buat garisan ‘glow in the dark’, terkejut tahu kos sebenar yang mahal hampir 20 kali ganda

Oleh KIM SYAZIE

November tahun lalu, Jalan Sungai Lalang di Semenyih, Selangor menjadi laluan pertama di negara ini yang menggunakan garisan ‘glow in the dark’ sehingga menarik perhatian pengguna jalan raya.

Projek perintis dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat itu membolehkan pemanduan menjadi lebih selamat dengan bantuan pantulan cahaya pada pembahagi jalan.

Susulan itu timbul permintaan agar garisan ‘glow in the dark’ atau garisan bercahaya dalam gelap dipasang di Lebuh Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik).

Begitupun apa yang anda tidak tahu, rupa-rupanya kos untuk memasang garisan bercahaya dalam gelap ini adalah hampir 20 kali ganda mahalnya berbanding kaedah konvensional.

Dilaporkan, kos pemasangan garisan jalan bercahaya dalam gelap menelan belanja kira-kira RM749 bagi setiap meter persegi berbanding kaedah konvensional menggunakan cat yang hanya RM40 bagi setiap meter persegi

Perkara itu didedahkan sendiri Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi baru-baru ini selepas melakukan kajian berhubung perkara itu.

“Saya sendiri sudah melakukan lawatan ke Hulu Langat, November lalu, dan ia (garisan jalan bercahaya dalam gelap) nampak bagus, selain maklum balas daripada pengguna juga positif.

“Namun, kosnya sangat mahal berbanding kaedah yang kita gunakan sekarang. Kos pemasangan garisan jalan bercahaya dalam gelap adalah RM749 bagi setiap meter persegi berbanding kaedah konvensional menggunakan cat yang hanya RM40 bagi setiap meter persegi,” katanya kepada pemberita.

Alexander menjelaskan, pihaknya perlu melakukan kajian lanjut secara menyeluruh terlebih dahulu, selain meneliti dari aspek kewangan.

“Memang ada keperluan di lebuh raya berkenaan, namun perlu melihat dari segi kewangan juga.

“Jika menggunakan kaedah yang memerlukan kos tinggi, mungkin hanya boleh membabitkan jarak yang dekat dan ia masih mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Baca juga: “Aku ni korbankan diri jaga adik lepas mak ayah meninggal, tapi dia pula sanggup goda suami aku sampai terlanjur…”