Bos besar bertegas tiada sebab untuk pecat DJ Lin, setiap minggu pendengar DJ Lin antara tertinggi

Oleh KIM SYAZIE

Isu penamatan kontrak penyampai radio Tyzo terus menjadi bualan hangat ketika ini sehingga ramai meletakkan kesalahan kepada pihak Suria FM dan DJ Lin.

Bukan itu sahaja, DJ Lin turut terkena tempias dari berita tersebut sehingga pendengar melancarkan petisyen mendesak penyampai radio itu meletakkan jawatan serta merta.

Di tengah-tengah ketegangan itu, Pengerusi Star Media Radio Group Berhad (SMRG), Datuk Dr. Mohd Aminuddin Mohd Rouse, tampil mempertahan penyampai radionya, DJ Lin.

Memetik Ohbulan!, Mohd Aminuddin berkata tiada sebab untuk pihaknya memecat DJ Lin disebabkan pendengar DJ Lin antara yang paling tinggi setiap minggu.

Malah katanya, DJ Lin begitu dedikasi sepanjang bekerja untuk stesen radio itu.

“Macam mana nak menentukan seseorang penyampai itu bagus atau pun tidak adalah dengan mengenal pasti data para pendengar iaitu ‘listenership’.

“Berdasarkan data ‘listenership’ yang saya tengok setiap minggu, yang paling tinggi sekali ialah sama ada DJ Lin atau pun Cik Piah.

“Kedua-dua penyampai ini boleh dikatakan kedudukan mereka sentiasa teratas dan sering berlumba-lumba pada setiap minggu.

“Jadi tak ada sebab untuk saya memecat DJ Lin atau pun tiada sebab sama sekali untuk beliau meletakkan jawatannya di Suria FM,” katanya kelmarin.

Mohd Aminuddin berkata demikian ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan penyampai baharu Suria FM yang bertempat di Cybertorium, Menara Star, Phileo Damansara.

Dalam pada itu, Aminuddin berpendapat DJ Lin merupakan individu yang menjadi mangsa sebenar di sebalik kontroversi yang tular baru-baru ini.

“Selain berkhidmat sebagai penyampai, DJ Lin juga merupakan Pengurus Besar Suria FM dan dalam erti kata lain siapa-siapa yang ‘menyerang’ pengurus besar syarikat bermakna anda juga sedang menyerang syarikat kami.

“Ada yang minta DJ Lin letakkan jawatan bahkan ada yang minta pihak atasan pecat DJ Lin, macam-macam tuduhan dilemparkan kepada DJ Lin bahkan kepada anak-anaknya turut terkesan.

“Jadi pada pendapat saya, mangsa sebenar di sebalik kontroversi ini adalah DJ Lin sendiri kerana ia telah menyebabkan kredibiliti dan reputasinya jatuh menjunam.

“Mungkin ini juga adalah satu rancangan yang bertujuan untuk menjatuhkan DJ Lin,” tambahnya lagi.

Baca juga: Boleh mula makan burger tanpa rasa bersalah, ini resepi rahsia patti ayam versi sihat