Seorang wanita tidak menyangka, bahtera perkahwinan yang dibina dengan penuh kebahagiaan bersama suami bakal dilanda badai selepas dikurniakan dua orang anak.
Meletakkan kepercayaan yang penuh kepada suaminya, hati wanita itu hancur berkecai selepas mengetahui kata-kata puitis diucapkan lelaki itu rupanya dusta dan palsu belaka.
Tidak mahu menjadi wanita lemah, berikut perkongsian sang isteri yang berjaya merangkai rancangan supaya dapat memberi pengajaran kepada suami dan bapa anak-anaknya itu.
“Aku sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Boleh dikatakan, kehidupan aku dan suami bahagia daripada awal bercinta hingga sekarang. Bergaduh sikit-sikit itu perkara biasa. Sampailah satu hari, suami aku demam. Melepek lemah tak boleh bangun. Maka akulah urus semua. Bawa ke hospital, sampai ke makan minum.
“Nak dijadikan cerita, aku terjumpa telefon kedua suami. Dalam beg kerja. Telefon itu dalam mod senyap (silent), tetapi nampak ada notifikasi. Aku tak pernah tahu telefon itu wujud. Dek kerana peranti itu dikunci dengan ibu jari, senang juga untuk aku buka. Sebab suami tidur mati selepas makan ubat. Demamlah katakan.
“Apabila sudah dibuka, cuba teka ada apa. Macam biasa, kes kantoi. Kantoi segala cerita. Segala perbualan dalam Whatsapp termasuklah maklumat terperinci berserta gambar. Aku? Gelak sahaja. Menggigil macam nak marah, tetapi aku gelak. Sebab, dua hari lepas suami ada cakap betapa dia cinta dan rindukan aku.
“Semua kata-kata itu suami bisikkan setelah kami bersama. Sekali lagilah aku gelak. Sebab apa? Sebab aku kena tipu. Daripada telefon kedua itu juga, aku dapat kenal pasti siapa perempuan itu. Kawan tempat kerja suami sendiri yang juga merupakan isteri orang. Ish-ish.
“Perbualan mereka nampaknya belum masuk bab-bab di katil, mungkin tidak sampai ke arah itu lagi. Alhamdulillah. Tetapi mereka sudah saling bertukar gambar yang tak senonoh. Bayangkan, isteri orang yang bertudung pergi hantar gambar berbaju tidur tali halus. Alahai, mungkin suami tak berikan kasih sayang.
“Lelaki aku pun sama, mungkin tak cukup lagi kasih sayang sampai cari dengan bini orang. Aku kumpul segala bukti, kalaulah perlu dipakai untuk kemudian hari. Aku atur strategi. Hari demi hari dilalui dengan tenang bersama helaan nafas yang panjang. Aku belum habis fikir. Aku seorang yang ego dan pendendam.
“Sebenarnya, boleh sahaja aku benci dan buang suami sekelip mata sahaja. Tetapi aku fikir, tak adil untuk semua orang kalau belum berusaha untuk baiki masalah ini duhulu. Langkah pertama aku, ialah upah pengintip untuk dapatkan gambar mereka berdua. Intim macam mana dan maklumat terperinci yang mungkin boleh aku guna.
“Pengintip ini murah sahaja, bawah RM1000 pun sudah boleh dapat. Aku cari yang bukan Melayu. Sebab aku ada rancangan seterusnya. Mereka jenis tak banyak bunyi, asal bayar sahaja. Paling penting, boleh bayar guna matawang kripto. Sudah dapat bukti, cuba kamu semua teka apa yang aku buat?
“Aku upah orang pukul suami dan campak gambar-gambar intim pada dia. Kononnya suami perempuan yang dia curang itu punya kerja. Aku minta mereka berikan amaran supaya suami tak berhubungan langsung dengan wanita itu. Kalau tak, lagi teruklah kena. Aku suruh mereka pukul untuk acah-acah sahaja.
“Aku tak minta mereka cederakan suami sana sini. Cuma lebam di muka sahaja. Aku puas tengok suami balik dengan muka lebam-lebam, jalan terhincut-hincut. Padan muka dia. Puas hati sebab aku tak mampu pukul dia sendiri. Bagi bahagian pukul, aku cuma perlu bayar RM2000 sahaja. Mudahnya hidup.
“Apabila suami sampai rumah dalam keadaan kene tibai, aku pura-pura terkejut dan ajak laporkan kepada polis. Suami cuma diam, aku cakap ‘jom bang, kita lapor polis. Abang nak takut apa, abang bukan buat salah pun!’. Aku provoke suami, seksa dia dengan macam-macam cara.
“Aku kenal suami, dia memang mudah termakan dengan kata-kata. Aku minta orang yang pukul suami untuk ugut konon akan tunjuk gambar-gambar itu padaku kalau dia masih berhubung dengan kekasihnya. Seorang sahaja yang kena? Tentulah tidak. Aku upah juga orang untuk ugut perempuan itu.
“Melalui orang upahan, perempuan itu disyaratkan untuk berhenti kerja 24 jam. Jika tidak, foto intim dan seksinya akan dihantar kepada suami dia. Aku akan memastikan perempuan gatal itu hilang apa yang dia ada termasuk anak dan harga diri. Dia terus berhenti kerja. Padan muka kena bayar penalti kepada syarikat.
“Puas hati aku. Jumlah perbelanjaan adalah RM5000. Tetapi bukan duit aku, duit laki aku. Hampir sebulan selepas selesai masalah, aku kembali tenang. Aku juga sedar. suami ini bukanlah baik sangat. Jadi bila-bila masa sahaja aku perlu bersedia. Cinta dahulu dan sekarang sudah tidak sama.
“Tetapi aku cuba lupakan. Bergembira, tetapi ada hadnya. Aku sudah tidak susahkan diri demi suami. Aku sudah tidak percaya lagi pada keluh kesah godaan dia malam-malam. Aku anggap itu semua hanya permintaan biologi darinya. Gembira, tetapi mungkin tak cukup bahagia. Faham tak maksud aku?
“Kalau ada orang tanya kenapa aku tak berdapan sahaja dengan suami? Buat apa nak bersemuka kalau benda boleh jadi lagi rumit. Yang senang dan tangan tak kotor kan ada. Aku tetap ada suami yang boleh penuhi semua keperluan, fizikal dan batin. Berdosakah aku? Kamu semua doalah supaya aku sempat minta maaf dekat suami.
“Aku ada banyak rancangan di dalam hidup. Buat masa ini cinta masih berbaki. Jika cinta sudah hilang atau anak sudah besar dan tak perlukan kami bersama lagi, aku sudah fikirkan rancangan untuk berpisah. Aku mahu jadi pengembara sepenuh masa. Untuk pembaca, jika suami anda curang jangan meroyan.
“Janganlah kamu semua tanya suami sama ada mereka tidak menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan. Jangan buang masa. Mereka memang suka tengok kita meroyan macam orang sasau apabila sudah kantoi. Konon trofilah sebab berjaya sakitkan hati perempuan yang mereka sudah tidak sayang.
“Jangan percaya kalau mereka cakap masih sayang. Kalau sayang, tiadalah wanita simpanan kan?.” Kongsi Raspberry (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di laman luahan atas talian.
Baca juga: Terlalu ramai jemaah hadir, masjid di Johor solat subuh 2 ses