Atikah Suhaime kini bergelar Datin, sah jadi isteri CEO produk Zaitun

Oleh WAN SITI AMINAH

Hanya dengan sekali lafaz, pelakon Atikah Suhaime sah bergelar isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Zaitun iaitu Datuk Lokman Teh pada Ahad, jam 8:55 malam.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Atikah sendiri, Suhaime Jamali dan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Diadakan secara tertutup, majlis pernikahan yang hanya dihadiri oleh keluarga serta kenalan rapat itu disiarkan secara langsung menerusi akaun TikTok Zaitun Industry.

Pelakon yang berusia 33 tahun itu menerima mas kahwin bernilai RM300 dan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan sementara wang hantaran pula dirahsiakan.

Difahamkan, pasangan merpati dua sejoli itu mengadakan majlis tertutup di dewan Cornerstone IPC, Kuala Lumpur dengan membawa konsep moden bertemakan Sakura.

@atikahsuhaimee4

Alhamdulillah🤍 Sah Bergelar Isteri Kepada Dato Lokman Teh🤍 #atikahsuhaime #lokmanteh #liveupdate #marriage #marriage #fypage #fypシ #foryourpage #foryourpage #masukberanda #masukfyp

♬ suara asli – 𝘛𝘢𝘶𝘧𝘪𝘲 🍃 – 𝙏𝙖𝙪𝙛𝙞𝙦 🍃

Terdahulu, hubungan cinta Atikah dengan ahli perniagaan berusia 35 tahun itu mula diketahui umum apabila dilihat begitu akrab sejak berkenalan pada tahun 2019 lalu.

Malah, pelakon kelahiran Singapura itu juga semakin rancak mempromosikan produk Zaitun selepas kemunculan semula jenama ubat gigi tempatan itu di platform TikTok.

Atikah kemudian berkongsi khabar gembira dengan pengikutnya di Instagram setelah memuat naik video majlis pertunangan dipercayai berlangsung pada Disember lalu.

Sekadar info, Atikah pernah mengikat tali pertunangan dengan penyanyi asal Singapura yang terkenal dengan lagu Kalau Aku Kaya iaitu Awie Rafael pada 13 Mac 2018.

Hubungan pasangan berkenaan bagaimanapun terputus di tengah jalan tepatnya pada 14 Mac 2019 lalu iaitu tiga hari sebelum mereka sepatutnya diijabkabulkan.

Baca juga: “Kecoh sangat pasal rating”, Tyzo tunjuk bukti segmen kendalian DJ Lin paling corot