“Mak mentua suka masakan aku, tapi setiap kali bawa makanan mesti ipar berbunyi”

Oleh WAN SITI AMINAH

Hati wanita manakah yang tidak gembira apabila menerima pujian daripada ibu mentua setiap kali menghidangkan makanan yang dimasak sendiri buat keluarga.

Kegembiraan wanita dikenali sebagai Nab itu malangnya sering kali dimusnahkan oleh ipar sendiri yang seolah-olah tidak senang dengan layanannya terhadap ibu mentua.

Mula berubah selepas mendengar pelbagai rungutan daripada ipar-iparnya, berikut perkongsian Nab yang terpaksa mengecewakan mentuanya demi kebaikan bersama.

“Assalamualaikum WBT. Semoga dalam jagaan Allah semuanya. Perkenalkan, nama aku Nab. Berusia 31 tahun dan sudah empat tahun berkahwin. Alhamdulillah, sudah dikurniakan seorang anak. Aku mahu kongsi mengenai keluarga suami. Al kisahnya, aku berkahwin dengan orang utara.

“Mak mentua aku suka makan makanan kampung. Jadinya, ulam-ulaman dan cabai (lada) itu sudah menjadi kewajiban. Keluarga mentua suka buat makan-makan. Satu keluarga bawa sejenis lauk dan makan beramai-ramai. Tetapi itulah, setiap kali mak mentua nak makan, ipar aku suka berbunyi macam-macam.

“Kakak ipar, abang ipar atau adik ipar kebiasaanya akan halang mak mentua makan masakan aku. Contohnya, mak mentua nak makan sambal terung pipit. Jadi, aku pun buatkanlah. Masa mak mentua aku cedok letak dalam pinggan nak mulakan suapan pertama, sudah berbunyi, ‘siapa masak lauk ini? Mak tak boleh makan. Nanti angin’.

“Mulalah, ipar-ipar lain juga tambah bunyi juga. Awalnya, aku tidak kisah dan baik-baik sahaja. Pada hari lain pula mak mentua minta nak makan serawa ubi kayu yang ibu aku buatkan. Apabila sampai sahaja bubur dekat rumah keluarga suami, bunyi lagi. ‘Siapa bawa ini? Mak tak boleh makan. Nanti penatlah, anginlah. Ok, baiklah.

“Aku juga ada masakkan kubis masak lemak dan ikan goreng. Mak mentua cakap, sedap ini. Elok nak suap ke mulut ada bunyi, ‘mak, kubis tak boleh makan’. Sebabnya sejuklah, uratlah, sudahhh. Hari lain pula aku ada bawakan mak mentua mi kari. Iya, ada bunyi lagi. ‘Mak jangan makan, mi itu angin nanti mak penat pula.

“Masa buat pot luck pula, aku goreng ikan kering sahaja. Mak mentua sudah makan seketul. Tiba-tiba bunyi, ‘mak jangan makan ikan kering, masin nanti jadi bla..bla..bla. Selalunya aku juga akan sediakan air teh satu jag. Bila mak mentua nak minum, akan ada bunyi lagi. Katanya teh angin dan mak tak boleh minum manis.

“Sejak itu, aku yang rajin masak ini sudah malas membawa masakan ke rumah mak mentua. Selalu datang dengan tangan kosong. Aku juga sudah berhenti membantu membancuh air. Sebenarnya, macam-macam lagi mereka cakap apabila aku bawa lauk macam daging, kicap, sos atau ikan. Penatlah. Semua nak complain.

“Untuk pengetahuan, mak mentua aku ini ada penyakit darah tinggi dan juga kencing manis. Sengajalah nak beritahu. Terima kasih sudi baca.” Kongsi Nab (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman luahan atas talian.

Baca juga: Suami kerja Singapura buntu, bagi nafkah RM800, keperluan rumah semua ditanggung tapi isteri merungut tak cukup