Tiga filem tempatan ini rekod kutipan terendah sepanjang 2023, raih tak sampai RM7,000 pun

Oleh KIM SYAZIE

Di kala beberapa filem tempatan gah dengan kutipan box office seperti Polis Evo 3, Malbatt dan Mat Kilau, namun ada juga filem tempatan yang merekodkan jualan tiket terburuk sepanjang tahun lalu.

Mengikut maklumat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), terdapat tiga filem yang gagal mendapat sambutan ramai biarpun ada antaranya diarahkan oleh pengarah berpengalaman seperti AR Badul.

Memetik laporan Berita Harian, semakan mendapati ketiga-tiga filem terbabit dibikin menggunakan dana kerajaan iaitu Dana Filem Cereka bernilai antara RM500,000 hingga RM800,000 dan Dana Pemasaran antara RM60,000 hingga RM90,000.

Artikel kali ini akan menyenaraikan tiga filem yang menyaksikan purata pungutan kira-kira RM5,900 sepanjang tempoh tayangan, seperti dilapor BH.

1) Vik2ria Secret

Filem tempatan

Menduduki senarai filem tercorot adalah Vik2ria Secret yang menjengah pawagam pada Jun tahun lalu. 

Naskhah yang mendapat sentuhan bintang legenda, AR Badul sebagai pengarah itu hanya mampu meraih kutipan RM5,058.90.

Biarpun timbul pelbagai isu panas yang dilaporkan media membabitkan naskhah itu, antaranya Badul didakwa menjalin hubungan dengan heroin filem terbabit, Annie Ariffin, selain poster Vik2ria Secret yang dipertikai netizen, namun kontroversi itu tidak mampu mengumpan penonton ke pawagam.

Naskhah yang membabitkan kos RM1.05 juta itu hanya merekodkan 346 penonton sepanjang tayangan.

2) Kaaval: The Movie

Diadaptasi daripada drama bersiri disiarkan TV2, filem Kaaval: The Movie terbitan One Merge Sdn Bhd hanya mengaut RM5,645.10.

Biarpun mempertaruhkan genre aksi dengan memaparkan kesungguhan sekumpulan inspektor polis menumpaskan jenayah yang semakin meningkat di bandar, terutama membabitkan isu pemerdagangan manusia, namun, ia bukan jaminan naskhah terbabit meraih kutipan pecah panggung.

Diarahkan Nithin Renji Panicker dan R Lawrence, filem yang ditayangkan pada Jun tahun lalu itu mendapat bantuan Dana Filem Cereka sebanyak RM500,000 dan Dana Pemasaran sebanyak RM60,000.

3) Sazali Meor Coco

Filem tempatan

Tuah nampaknya tidak berpihak kepada pelakon, Zizan Nin apabila filem pertama arahannya berjudul Sazali Meor Coco yang ditayangkan di pawagam, November tahun lalu, hanya mengutip RM6,990.35.

Naskhah bercorak komedi terbitan Aquila Emas Sdn Bhd itu mengisahkan tiga beradik iaitu Sazali, Coco dan Meor yang berhijrah ke bandar untuk menjadi bintang terkenal. 

Filem itu turut menerima Dana Filem Cereka berjumlah RM800,000.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib bagaimanapun tidak melihat jumlah kutipan tiket rendah sebagai suatu kegagalan dalam industri perfileman tempatan.

Bersikap rasional terhadap senario dilihat, Azmir memahami kekangan dihadapi penerbit kerana kebanyakan filem dihasilkan selepas pandemik COVID-19.

Untuk rekod, filem Polis Evo 3 catat kutipan RM50 juta dalam tempoh 24 hari ditayangkan tahun lalu.

Filem MALBATT: Misi Bakara pula merekod pungutan RM32.5 juta selepas lima minggu ditayangkan mulai 24 Ogos 2023.

Baca juga: Cuba resipi ‘simple’ rempeyek ranggup ni, boleh tambah kacang dan ikan bilis ikut suka!