Sekian lama tidak muncul di kaca televisyen, pelawak sensasi iaitu Shuk Sahar kembali mencuri tumpuan selepas membuat pendedahan mengejutkan, baru-baru ini.
Mana tidaknya, pemilik nama sebenar Mohammad Shukri Mohamed Sahar itu mengaku pernah diberhentikan kerja dari sebuah stesen radio terkenal di hari raya pertama.
Ketika kejadian, Shuk yang bertugas sebagai penyampai radio di slot hujung minggu itu telah diberikan tanggungjawab untuk tetap bekerja di hari raya pertama Aidilfitri.
Walau bagaimanapun, pelawak berusia 38 tahun itu telah mengambil tindakan yang ‘berani mati’ hanya untuk pulang merayakan Aidilfitri di kampungnya di Pulau Pinang.
Tanpa kebenaran pihak pengurusan radio swasta itu, Shuk telah melanggar arahan dengan merakam segmen kendaliannya yang sepatutnya diadakan secara langsung.
Tular di media sosial, perkara tersebut didedahkan bekas pengacara ‘I Can See Your Voice Malaysia’ itu dalam satu sesi audio siar atau podcast yang turut dikongsi di TikTok.
“Masa itu hari raya dan aku kena kerja. Jadi apa yang aku buat, aku datang (konti) pada malam raya itu. Sebabnya aku nak balik ke Pulau Pinang, kampung dekat sana.
“Jadi aku datang dan rekod siap-siap. Sepatutnya show (segmen) itu tidak boleh direkodkan. Aku suruh kawan-kawan menyamar jadi pemanggil,” kata bapa dua anak itu.
Bagi memastikan muslihatnya tidak terbongkar, Shuk turut mengajar rakan-rakannya untuk berlakon seperti sedang menyambut hari raya di dalam ‘panggilan’ berkenaan.
Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi bintang filem Zombie Kilang Biskut itu apabila dihubungi majikan di awal pagi untuk menukar susunan lagu yang telah dibuat.
“Pukul 6.30 pagi menghampiri Pulau Pinang, bos radio telefon saya suruh ubah lagu. Sebab, ada lagu perlu dipadam. Saya terdiam sedangkan mula-mula dia telefon, siap pasang radio bagi macam suasana dekat konti.” Ulasnya.
Selepas mengetahui keadaan sebenar, majikan yang berang dengan tindakan Shuk itu akhirnya membuat keputusan untuk terus memberhentikannya dari stesen radio.
“Masa dia (majikan) cakap padam itu, muka aku sudah pucat. Aku cakap, ‘bos saya sudah nak sampai ini’. Dia maki aku. Katanya minggu depan datang ambil surat resign.
“Hari raya pertama aku sudah tiada pekerjaan.” Kata pelawak sudah tidak menerima tawaran kerja baharu di industri hiburan sejak dihimpit kontroversi kerana berlaku curang kepada bekas isterinya.
Meskipun rata-rata pelayar TikTok geli hati dengan perkongsian itu, namun ramai juga pengguna media sosial menyifatkan Shuk sebagai pekerja yang tidak berdisiplin.
Baca juga: Cuba resipi ‘simple’ rempeyek ranggup ni, boleh tambah kacang dan ikan bilis ikut suka!