Pihak polis akan mengambil keterangan Tun Dr Mahathir berhubung kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dibuat bekas perdana menteri itu, baru-baru ini.
Dedah salah seorang pembantu Mahathir, kenyataan itu dijadualkan dirakam pada pukul 3 petang ini di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, lapor Malaysia Kini.
Tun Dr Mahathir pada 13 Januari lalu mendakwa, rakyat Malaysia berbangsa India masih tidak setia sepenuhnya kepada negara kerana masih terikat dengan negara asalnya.
Dakwaan tersebut diutarakan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu dalam sesi temu bual eksklusif di atas talian bersama saluran televisyen satelit dari India iaitu Thanthi TV.
Tun Dr Mahathir dikatakan mengeluarkan kenyataan bahawa seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.
Jelasnya, masalah berpunca dari ‘pendatang’ (merujuk kepada kaum India dan Cina) yang menganggap Malaysia sebagai negara asal tetapi terus mempraktikkan adat dan budaya mereka sendiri.
“Orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal. Mereka bercakap Tamil,” jawabnya memetik Malaysia Kini ketika ditanya jika rakyat tidak boleh kekal setia kepada negara didiami sambil komited kepada asal usul.
Penemu ramah program kemudian bertanya adakah Tun Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu menjangka orang bukan Melayu akan ‘berasimilasi sepenuhnya’ menjadi orang Melayu.
“Ya, mereka sepatutnya begitu. Dahulu kami (di Malaysia) ada orang India, Pakistan, Arab dan Afrika yang kini Melayu. Maksudnya, mereka berbahasa Melayu di rumah dan mengamalkan budaya Melayu,” ulasnya.
Mengambil peluang keemasan, penemu ramah itu turut bertanya sekiranya ahli politik veteran tersebut masih mengharapkan semua kaum di Malaysia dikenali sebagai Melayu bukannya rakyat Malaysia.
“Sepatutnya begitu.” Kata bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang pernah menjadi perdana menteri Malaysia sebanyak dua kali itu.
Beberapa pihak kemudian membuat laporan polis ke atas pemimpin yang mesra dikenali sebagai Tun M itu susulan kenyataan menyentuh sensitiviti kaum tersebut dibuat.
Baca juga: Dekat masjid pun ada tandas VIP? Lelaki persoal tindakan sesetengah masjid amal ‘double standard’