Timbul isu daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu akan lenyap dalam masa 10 tahun jika tidak bersatu.
Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak dipersetujui Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang melihat keadaan ekonomi orang Melayu kini lebih baik berbanding dahulu.
Dalam satu hantaran dimuat naik di Facebook, Rafizi Ramli tidak bersetuju dengan kenyataan dikeluarkan Tun Mahathir baru-baru ini.
“Kebetulan minggu ini timbul isu Melayu akan hilang 10 tahun dari sekarang. Amaran itu diberikan oleh Tun Mahathir, yang telah mewarnai dan mempengaruhi masyarakat dan negara kita sejak lebih 60 tahun lepas.
“Amaran Tun Mahathir itu cukup berbeza dengan kata-kata semangat yang dikaitkan dengan Laksamana Hang Tuah 500 tahun lalu, iaitu ‘takkan Melayu hilang di dunia’,” ujarnya dalam hantaran tersebut.
Tambahnya keadaan ekonomi orang Melayu juga dilihat lebih besar berbanding 50 tahun lepas malah mempunyai tahap profesional lebih tinggi.
“Contohnya, orang Melayu kini membentuk kelas pertengahan (middle class) yang besar dalam negara kita berbanding 50 tahun dahulu. Orang Melayu juga membentuk kelas profesional yang besar.
“Kejayaan membina kelas pertengahan dan kelas profesional yang besar ini adalah bukti orang Melayu berkemampuan menaiki mobiliti sosial melalui pelaburan kerajaan dalam pendidikan,” tambahnya.
Melayu dan ekonomi
“Tetapi, saya faham jika ada yang sering mempersoalkan mengenai penguasaan Melayu dalam bidang ekonomi. Isu yang sering dibangkitkan ialah sama ada peluang ekonomi yang disediakan oleh kerajaan mencukupi untuk melonjakkan penguasaan ekonomi orang Melayu.
“Di sinilah asalnya doktrin ‘Melayu Akan Hilang’ jika kuasa politik tidak dimonopoli oleh beberapa kerat elit Melayu, seperti yang dibawa oleh Tun Mahathir.
“Beliau menyamakan kuasa politik sebagai lubuk harta yang boleh digunakan untuk memberi keistimewaan ekonomi (orang kita selalu panggil sebagai ‘projek’) kepada beberapa kerat orang Melayu terpilih, atas alasan demi menyamakan keupayaan ekonomi Melayu dengan bukan Melayu,” ujarnya.
Rafizi bagaimanapun memilih untuk menghayati pesanan Hang Tuah bahawa ‘takkan Melayu hilang di dunia’ berbanding kenyataan Tun Mahathir.
“Saya percaya Tun Mahathir akan terus berpegang kepada doktrin kuasa politik-korporat ini sampai bila-bila.
“Namun saya memilih untuk menghayati pesanan Hang Tuah bahawa “takkan Melayu hilang di dunia’ dan memahami konteks pesanan itu di akhir Kesultanan Melayu Melaka.
“Apabila kekuasaan boleh mengatasi kewarasan; maka kelangsungan Melayu terletak kepada pimpinan yang adil, berhemah dan berpada-pada menggunakan kuasa,” jelasnya.
Baca juga: Gagal isytihar 12 harta, isteri bekas Menteri Kewangan akhirnya didakwa