Peminat terkejut Puteri Sarah hisap vape, PA mohon maaf tiada niat ajar tabiat buruk

Oleh WAN SITI AMINAH

Peminat Puteri Sarah Liyana terperanjat apabila pelakon sensasi kesayangan mereka menghisap rokok elektronik atau vape dalam sesi siaran langsung di aplikasi TikTok.

Meluahkan rasa tidak senang, rata-rata peminat langsung tidak menyangka selebriti pujaan mereka tergamak melakukan perkara yang membawa pengaruh negatif itu.

Susulan isu vape tersebut hangat diperkatakan di platform media sosial, pembantu peribadi Puteri Sarah yang dikenali sebagai Acu tampil menjelaskan perkara sebenar.

Menerusi penjelasan yang dibuat dalam sesi siaran langsung di platform sama, Acu memaklumkan bahawa rokok elektronik dihisap oleh Puteri Sarah itu adalah miliknya.

Tampil memohon maaf kepada para peminat Puteri Sarah, Acu mengatakan dirinya langsung tidak berniat mengajar pelakon drama Andai Itu Takdirnya itu tabiat buruk.

Malah jelas Acu, peranti elektronik yang dibelinya di negara seberang, Indonesia itu tidak mengandungi sebarang kandungan berbahaya untuk kesihatan seperti nikotin.

“Apabila Puteri Sarah mula membebel (dalam siaran langsung), saya pun hulurkan vape tersebut. Saya minta maaf sebab terbagi benda itu kepadanya. 

“Saya tidak mengajar dia menghisap vape, ia adalah kesilapan saya. Jadi, saya ingin meminta maaf banyak-banyak kepada peminat Puteri Sarah. Pod (rokok elektronik) ini saya beli di Jakarta.

“Ia tidak mengandungi bahan nikotin seperti mana yang dijual di Malaysia,” jelas Acu dalam sesi siaran langsung di Tiktok yang sempat dirakam kemudian dimuat naik semula oleh pengguna platform itu.

Puteri Sarah yang turut hadir dalam sesi siaran langsung tersebut turut menegaskan bahawa vape tersebut hanya mengandungi kandungan perasa jambu tanpa nikotin.

“Anda semua jangan risau. Kalau di Malaysia memang ada nikotin tetapi yang dibeli dari Jakarta ini seperti shisha. Ia kosong, tiada nikotin dan hanya mempunyai perasa.” Jelas pelakon berusia 39 tahun itu.

Terdahulu, tular satu rakaman siaran langsung memaparkan Puteri Sarah menghisap vape sebelum beberapa kali menghembuskan asap di hadapan skrin telefon bimbit.

Ketika kejadian, pemilik nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu dilihat sedang rancak berborak mengenai bekas kakitangannya yang pecah amanah.

Baca juga: Diserang ‘anxiety’ ketika hamil, Shila Amzah akui sukar tidur