Seorang wanita mengundang kecaman pengguna media sosial selepas mendedahkan dia mempunyai ‘orang dalam’ sehingga mampu bekerja di sektor awam.
Tidak hanya itu, wanita terbabit mendakwa dia menikmati rehat selama 3 jam pada setiap hari Jumaat.
Pendedahan itu menimbulkan rasa kurang senang dari orang ramai kerana selaku penjawat awam, dia tidak seharusnya menimbulkan konotasi negatif terhadap pekerjaan di sektor itu.
Lebih-lebih lagi ketika ini banyak pandangan serong terhadap tugas kakitangan kerajaan yang dianggap sangat bersenang lenang.
Membuat penjelasan menerusi akaun TikTok, katanya, video menunjukkan dia berehat sekitar tiga jam itu dikongsi sekadar suka-suka untuk menceritakan tentang pekerjaannya.
Malah, dia tidak lagi bekerja di syarikat tersebut memandangkan perkhidmatannya sebagai pekerja kontrak sudah tamat pada September tahun lalu.
“Berkenaan dengan waktu rehat, saya tidak bermaksud rehat selama tiga jam. Cuma anggaran kasar sahaja. Lebih tepat lagiwaktu rehat kami setiap hari Jumaat adalah dari pukul 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang.
“Saya berehat di luar bukanlah selama tiga jam. Lebih kurang satu jam saya berada di ruang hiburan. Itu pun selepas makantengah hari. Masa selebihnya saya sudah pun berada di pejabat untuk menunaikan solat zohor,” jelasnya dalam video tersebut.
Sebelum ini, tular satu tangkap layar video di X menunjukkan wanita tersebut bangga memberitahu bagaimana dia meluangkan masa rehat yang panjang setiap hari Jumaat.
Timbul pelbagai persoalan dan spekulasi dalam kalangan netizen apabila pekerja sektor awam ini menghabiskan masa mengunjungi pusat karaoke yang terletak berhampiran pejabatnya.
Susulan pertikaian tersebut, wanita ini tampil mengakui kesilapannya melanggar etika kerja apabila dia tidak membuka lanyard ketika waktu rehat.
“Waktu rehat, saya tidak bawa beg tangan. Hanya dompet dan telefon bimbit sebab itulah saya tidak membuka lanyard jika pergi ke mana-mana kerana tidak ada tempat untuk simpan.
“Perkara ini juga dianggap biasa di kawasan itu kerana ramai pekerja dekat sana juga tidak membuka landyard mereka.
“Tapi saya mengakui kesalahan tidakmembuka landyard tersebut apabila masuk ke tempat hiburan,” katanya.
Rata-rata warga maya mengkritik tindakan dianggap kurang cerdik wanita terbabit apabila dia sendiri mendedahkan bahawa dia mendapat kerja menggunakan ‘orang dalam’ (staf yang membantu mendapatkan kerja).
Baca juga: Warna-warni tambat hati anak! Ini resipi jelly ball viral, mak-mak boleh cuba buat sendiri di rumah