Miliki aset lebih RM244 juta, SPRM siasat satu lagi dana amanah milik keluarga Daim

Oleh WAN SITI AMINAH

Keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dikatakan telah menubuhkan satu dana amanah yang memiliki aset kira-kira AS$52.56 juta atau RM244.06 juta.

Dana amanah luar pesisir itu ditubuhkan atas nama isterinya, Na’imah Abdul Khalid dan dua anaknya iaitu Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.

Mengejutkan, perkara tersebut akhirnya didedahkan menerusi satu kebocoran data yang membabitkan penyedia perkhidmatan di luar pesisir iaitu di Kepulauan Cayman.

Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya sedang meneliti data tersebut, lapor Malaysia Kini.

“Ya, kita memang menyiasat perkara ini. Kita sudah dapat maklumat melalui papers (kebocoran data) itu.

“Jadi, kita akan verifikasi dahulu sama ada maklumat itu betul atau tidak. Sebab perkara seperti ini, kita perlu sahkan,” katanya memetik laporan Malaysia Kini.

Terdahulu, Malaysia Kini telah memperolehi satu dokumen bocor terbaharu yang dikongsi daripada pihak Konsortium Penyiasatan Kewartawanan Penyiasatan (ICIJ). 

Dokumen itu menunjukkan selewat-lewatnya pada 2020, terdapat aset kira-kira RM244.06 juta dipegang dalam ZA Star Trust iaitu dana amanah yang dimiliki oleh Na’imah, Amir dan Amin.

Nilai ini difahamkan mengatasi aset dimiliki dalam amanah luar pesisir yang pernah dikaitkan dengan Daim di mana maklumat terhad menunjukkan jumlahnya kurang daripada £25 juta (RM148.26 juta).

Dokumen yang bocor ini adalah dari Cayman Genesis Trust & Corporate Services Ltd iaitu sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan seperti pembentukan dan pentadbiran syarikat, pendaftaran dan pentadbiran perkongsian, perkhidmatan amanah, perkhidmatan pengarah dan banyak lagi.

Untuk makluman, Kepulauan Cayman adalah antara tempat perlindungan cukai di luar pesisir yang cukup digemari oleh individu kaya-raya tanpa mengira umur atau negara.

Tempat ini menjadi pilihan sebagai lokasi penyimpanan aset dimiliki oleh para hartawan di seluruh dunia atas pelbagai sebab yang tidak semestinya bertujuan untuk menyalahi undang-undang.

Baca juga: Wanita bangga dapat kerja kerajaan guna ‘kabel’, rehat 3 jam boleh pergi karaoke lagi! Tapi akhirnya tampil mohon maaf